SIRI PARA ANBIYA: NABI MUSA DENGAN NEBWENENEF
Nabi Musa a.s merupakan anak ketiga dari perkongsian hidup Imran bin Yishar bin Qahit bin Nabi Lawi bin Nabi Yaaqub bin Nabi Ishaq bin Nabi Ibrahim dengan isterinya yang bernama Yukabid binti Qahith bin Nabi Lawi.
Kelahiran Nabi Musa disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa dan diselamatkan oleh Allah Taala daripada dibunuh. Sebelum kelahiran beliau, seorang Imam Besar bagi Tuhan Amun merangkap Nabi Palsu yang bernama Nebwenenef telah meramalkan tentang kelahiran beliau. Perkara tersebut telah disokong oleh Nabi-Nabi Palsu lain seperti Hori dan Paser.
Nebwenenef dikatakan lahir ketika pemerintahan Firaun Seti I bin Rameses I dan meningkat dewasa, Nebwenenef telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Takhat dan hasil perkongsian hidup, maka lahirlah anak lelaki bernama Sementawy (menjadi Imam Besar Tuhan Hathor) dan seorang anak perempuan bernama Hathor.
Setelah itu, Nebwenenef telah dilantik menjadi Imam Besar Tuhan Anhur di Thinis dan Imam Besar Tuhan Hathor di Dendera ketika zaman pemerintahan Firaun Sethi I. Setelah Firaun Sethi I mati, anaknya yang bernama Rameses II menaiki takhta Kerajaan Mesir. Oleh kerana Nebwenenef banyak berjasa pada negara Mesir, Rameses II telah melantik Nebwenenef menjadi Imam Besar bagi Tuhan Amun serta merangkap Nabi.
Ramalan kelahiran Nabi Musa telah sampai ke pengetahuan Firaun Rameses II sehingga baginda memutuskan agar setiap bayi lelaki kaum Bani Israil dibunuh. Allah Taala lagi Maha Mengetahui lalu menyelamatkan Nabi Musa dari dibunuh. Ibunya telah meletakkan beliau di dalam peti lalu dihanyutkan ke dalam Sungai Nil sehingga sampai di perkarangan permandian istana.
Peti itu telah dijumpai oleh Asiah (Isinofret), isteri Firaun Rameses II. Ketika dibukanya peti tersebut, Asiah (Isinofret) menjadi terkejut kerana mendapati ada seorang bayi lelaki di dalam peti tersebut.
Dengan sifat keibuan, Asiah (Isinofret) mengambilnya dan memberitahu suaminya bahawa dia ingin membela bayi tersebut. Pada mulanya Firaun Rameses II tidak setuju dan atas pujuk rayu Asiah (Isinofret), akhirnya baginda akur.
Nabi Musa dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang. Meningkat dewasa, Nabi Musa selalu dimuliakan oleh rakyat Mesir disebabkan kerana beliau anak angkat Firaun Rameses II. Hal itu membuatkan hati Imam Besar Nebwenenef tidak berasa tenang.
Ditakdirkan oleh Allah Taala, pada suatu hari, Nabi Musa terjumpa dua orang sedang berkelahi antara orang Mesir dengan orang Kaum Bani Israil. Untuk meleraikan perkelahian itu, Nabi Musa menampar pipi orang Mesir sehingga mati. Hal itu telah membuatkan Nabi Musa melarikan diri ke Madyan dan berkhidmat disana selama 10 tahun.
Cukup tempohnya, Nabi Musa meminta izin daripada bapa mertuanya Nabi Syuaib untuk pulang ke Mesir bersama isterinya Safura dan dua orang anaknya Gershon dan Eleazar. Ketika melalui Bukit Thursina, beliau telah dipanggil oleh Allah Taala dan dilantik menjadi Rasul. Lantikan itu terjadi di atas puncak Bukit Thursina. Selain beliau, Allah Taala telah melantik abangnya Harun menjadi Rasul bagi membantunya dalam menyeru manusia ke jalan Allah.
Sesampai beliau di Mesir, beliau mencari abangnya dan memberitahu hal perlantikan tersebut. Pada waktu yang sesuai, beliau bersama abangnya, Harun menjalankan kewajipan sebagai Rasul untuk mengajak manusia beriman kepada Allah. Maka gemparlah seluruh warga kota mengatakan bahawa Musa anak Rameses II membawa ajaran baru.
Hal itu sampai ke pengetahuan Imam Besar Nebwenenef, Hori, Paser dan Firaun Rameses II. Dalam hati baginda, segala mimpi yang dialami sebelum ini akan menjadi kenyataan. Selaku ketua Imam, Nebwenenef pun menuju ke kota lalu menyampaikan risalah palsu kepada rakyat Mesir. Menurutnya, segala apa yang disampaikan oleh Nabi Musa adalah dusta belaka. Tidak ada Tuhan lain yang dapat membantu selain Tuhan Amon, Hathor dan Anubis.
Nabi Musa dengan keras menyangkal dakwaan Nebwenenef itu dan tetap menyeru manusia beriman kepada Allah Taala. Nebwenenef merasa malu dan terus menemui Firaun Rameses II. Dia mencadangkan agar baginda memanggil Nabi Musa mengadap dan menunjukkan bukti kebenaran ilmu yang dibawa olehnya.
Firaun Rameses II pun menitahkan segala ahli sihir serta para-para Nabi Palsu supaya mengadap. Nabi Musa menyahut seruan Firaun Rameses II. Setelah Nabi Musa mengadap, baginda pun menitahkan para ahli sihir dan Nabi Palsu mengeluarkan ilmu yang mereka ada. Mereka pun mengeluarkan tali dan menyeru serta memujanya. Maka berubahlah tali2 mereka menjadi ular.
Melihat kejadian itu, Nabi Musa tidak merasa gementar malah hatinya sentiasa tenang saat menghadapi sesuatu. Atas petunjuk dari Yang Maha Esa, beliau pun mencampakkan tongkatnya sehingga berubah menjadi ular besar. Ular besar tersebut pun menelan kesemua ular ahli sihir dan para Nabi Palsu. Dengan petunjuk dan mukjizat yang diberikan, maka sebilangan daripada mereka pun beriman kepada Nabi Musa.
Dengan kemenangan yang ditunjukkan oleh Nabi Musa, maka Imam Besar Nebwenenef tidak merasa puas hati lalu membuat pakatan untuk membunuh Nabi Musa. Ditakdirkan sebelum rancangan pembunuhan itu terjadi, Imam Besar Nebwenenef pun mati terkejut tanpa diketahui penyakit sebenar. Kematian Nebwenenef mengemparkan seluruh kota dan sebahagian dari mereka mengatakan semuanya berpunca dari Nabi Musa.
Ancaman dan caci makian tidak pernah membuatkan hati Nabi Musa luntur malah beliau berusaha menyiarkan risalah tauhid tanpa jemu.
#MAMR
SIRI PARA ANBIYA: NABI MUSA DENGAN NEBWENENEF Nabi Musa a.s merupakan anak ketiga dari perkongsian hidup Imran bin Yishar bin Qahit bin Nabi Lawi bin Nabi Yaaqub bin Nabi Ishaq bin Nabi Ibrahim...
www.facebook.com