JEJAK SIRAH 8 : PERKAMPUNGAN BANI SAAD, TEMPAT RASULULLAH DIASUH
Jarak dari Mekah ke perkampungan Bani Saad adalah sekitar 200 km. Di sinilah dulu Rasulullah SAW pernah diasuh oleh seorang wanita mulia bernama Halimatus Sa'adiyah.
Dalam adat masyarakat Arab Jahiliyah, seseorang bayi yang lahir di dalam kota mesti diasuh dan dibesarkan di kawasan perkampungan. Hal ini adalah untuk menjaga kesihatan anak tersebut kerana di kota terdapat ramai orang yang menyebabkan mudahnya penyakit tersebar.
Di samping itu, orang-orang Arab mahukan anak-anak lelaki mereka menjadi kuat dan gagah. Hal ini hanya boleh terjadi jika mereka dibesarkan dalam suasana perkampungan. Sementara itu, wanita-wanita di kampung juga sememangnya mahu memelihara anak-anak dari kota kerana ia merupakan salah satu dari sumber pendapatan mereka.
Dengan memelihara anak-anak orang kota, mereka akan dibayar oleh ibu bapa anak-anak yang dijaga. Maka situasi ini dilihat sebagai menang-menang di mana kedua-dua pihak akan mendapatkan manfaatnya.
Sehubungan dengan itu, datuk Rasulullah SAW, Abdul Muttalib pun mencari wanita-wanita yang tinggal di kawasan perkampungan atau pedalaman yang boleh menyusukan cucu kesayangannya itu sekaligus memelihara dan mengasuhnya di kawasan tersebut.
Suatu ketika seorang wanita dari kawasan pedalaman yang bernama Halimah binti Abu Dzuaib bersama suaminya yang bernama Harits bin Abdul Uzza datang ke kota Mekah bersama sebuah rombongan. Mereka berasal dari Bani Saad. Tujuan mereka datang ke kota Mekah untuk mencari bayi-bayi di kota Mekah yang boleh dipelihara.
Pada ketika itu berlakunya musim kemarau. Banyak haiwan-haiwan ternakan yang kekurangan air minum sehingga haiwan-haiwan tersebut tidak dapat megeluarkan susu. Halimah dan Harits turut merasakan bencana ini. Anak mereka sering menangis kelaparan akibat musim kemarau yang melanda.
Oleh kerana itu, Halimah dan Harits perlu mencari bayi-bayi dari kota untuk dipelihara bagi menampung kehidupan mereka. Setelah tiba di Mekah, mereka pun mula mencari bayi-bayi kota Mekah untuk dipelihara.
Abdul Muttalib telah menawarkan Rasulullah SAW kepada wanita-wanita Bani Saad dalam rombongan tersenut yang datang dari pedalaman untuk dipelihara. Namun kesemua mereka menolak apabila diberitahu bahawa Rasulullah SAW adalah anak yatim. Mereka bimbang bahawa mereka tidak akan mendapatkan bayaran sekiranya mereka memelihara Rasulullah SAW.
Setelah beberapa ketika, setiap wanita dalam rombongan tersebut telah pun mendapat bayi-bayi kota Mekah untuk dipelihara kecuali Halimah.
Pada saat rombongan itu mahu berangkat pulang, maka Halimah pun berkata pada suaminya, “Demi Allah, aku tidak ingin pulang bersama rombongan ini tanpa membawa seorang bayi yang boleh aku susui dan pelihara. Demi Allah, aku benar-benar akan mendatangi anak yatim itu (Rasulullah SAW) dan membawanya pulang.” Suaminya pun menjawab, “Benar, ada baiknya jika kita lakukan sedemikian. Semoga Allah mendatangkan keberkatan kepada kita melalui anak itu.”
Oleh itu, Halimah dan suaminya pun membawa Rasulullah SAW pulang ke kampungnya. Apabila Halimah mendukung Rasulullah SAW, beliau dapat merasakan sesuatu yang aneh di mana beliau sedikit pun tidak merasa letih. Ketika dalam perjalanan pulang, Halimah pun menghulurkan puting susunya pada Rasulullah SAW dan susu yang keluar dari tubuhnya menjadi sangat banyak di mana Rasulullah SAW dapat menyusu dengan sepuas-puasnya.
Di samping itu, anak Halimah sendiri pun dapat menyusu dengan sepuas-puasnya dan kedua-dua mereka tidur dengan kekenyangan. Anak Halimah tidak pernah merasa mendapat susu ibu sebanyak itu sehinggalah Rasulullah SAW menyusu dengan Halimah.
Suami Halimah iaitu Harits mendapati unta tua yang ditunggangi mereka telah mengeluarkan susu dengan banyak. Oleh itu, dia memerah susu unta tersebut dan mereka berdua dapat meminum susu unta tersebut hingga kekenyangan. Halimah menyatakan bahawa beliau merasakan malam itu adalah malam yang terindah buat mereka di mana mereka telah merasai keberkatan Rasulullah SAW.
Harits berkata kepada Halimah, “Demi Allah, tahukah engkau wahai Halimah, engkau telah mengambil satu jiwa yang penuh dengan keberkatan”. Halimah pun menjawab, “Demi Allah, aku juga mengharapkan sedemikian.”
Ketika rombongan tersebut meneruskan perjalanan, ahli rombongan tersebut merasa terkejut melihat haiwan tunggangan Halimah yang sebelum ini kelihatan lesu menjadi kuat dan dapat bergerak dengan laju. Setelah beberapa lama, maka mereka pun tibalah di perkampungan mereka iaitu kawasan perkampungan Bani Saad.
Setelah tiba di rumahnya, Halimah mendapati tanahnya menjadi subur. Tanaman dapat tumbuh dengan baik. Kambing-kambingnya pula telah menghasilkan susu dengan banyak. Keadaan ini berbeza dengan jiran-jirannya di mana kambing-kambing mereka tidak dapat mengeluarkan susu akibat kemarau yang melanda.
Maka Rasulullah SAW pun terus berada dalam jagaan Halimah dan suaminya. Mereka benar-benar merasa berkat dengan kehadiran Rasulullah SAW sehingga mereka sangat menyayangi baginda. Rasa sayang itu tidak kurang dari rasa sayangnya seorang ibu pada anak kandungnya.
Setelah cukup dua tahun, Halimah terpaksa menyerahkan semula Rasulullah SAW pada Siti Aminah kerana perjanjian yang telah diutarakan antara mereka ialah Halimah hanya memelihara Rasulullah SAW hingga baginda berusia dua tahun.
Halimah berasa sangat sedih dan berat hati untuk menyerahkan semula Rasulullah SAW pada ibu kandung baginda. Beliau berharap agar Rasulullah SAW dapat terus tinggal dengannya lebih lama.
Oleh itu, Halimah pun merayu pada Siti Aminah. Beliau berkata, “Seandainya engkau sudi membiarkan anak ini untuk terus tinggal bersama kami sehingga dia dewasa, maka itu adalah lebih baik. Aku bimbang dia akan terkena penyakit yang biasa merebak di Mekah.” Dengan itu, Siti Aminah pun membenarkan Halimah untuk terus memelihara Rasulullah SAW.
Halimah dan suaminya berasa sangat gembira dengan kebenaran yang diberikan oleh Siti Aminah itu. Maka mereka pun memelihara Rasulullah SAW dengan penuh kasih sayang sehinggalah Rasulullah SAW mencapai usia lima tahun iaitu apabila berlakunya peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW oleh malaikat Jibril AS.
Dari peristiwa itu, Halimah berasa sangat takut. Beliau menyangka bahawa ada orang yang ingin mencederakan atau berbuat sesuatu yang buruk kepada Rasulullah SAW. Dengan itu, beliau pun segera menghantar Rasulullah SAW pulang semula ke Mekah kepangkuan Siti Aminah bagi menjamin keselamatan Rasulullah SAW.
Halimah binti Abu Dzuaib menyerahkan Rasulullah SAW pada Siti Aminah ketika Rasulullah SAW berusia enam tahun. Oleh kerana Halimah binti Abu Dzuaib dari kalangan Bani Saad, maka beliau lebih masyhur dikenali dengan nama Halimatus Saadiyah.
Oleh yang demikian, Rasulullah SAW memiliki beberapa orang adik beradik sesusu di mana mereka adalah anak Halimah dan Harits. Mereka ialah Abdullah bin Harits, Anisah binti Harits dan Hudzafah binti Harits atau lebih dikenali dengan nama Asy Syaima’.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam