BTC USD 62,626.1 Gold USD 4,442.69
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Muhammad Hilmi sering datang rumah

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg



KUALA LUMPUR 14 April – Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim yang menghadapi tuduhan bersubahat menggalakkan keganasan, sering datang ke rumahnya beberapa bulan sebelum Oktober 2012.

Leftenan Kolonel (B), Mohd. Ariff Abdullah menyatakan, tertuduh tersebut merupakan kenalan kepada anaknya, Mohd. Razif, 33.

Tidak mengetahui bagaimana anaknya boleh berkawan dengan lelaki terbabit, saksi pendakwaan kelima itu juga menyatakan beliau tidak pernah melihat sesuatu yang pelik mengenai Muhammad Hilmi, 35, mahupun berbual mengenai organisasi bersenjata atau menyebut mengenai Tanzim Al-Qaeda.

Beliau juga tidak pernah bertemu dengan pengusaha kafeteria, Yazid Sufaat.

Mohd. Ariff berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan peguam kedua-dua tertuduh itu, Amer Hamzah Arshad pada sesi soal balas hari kedua perbicaraan terhadap Muhammad Hilmi dan Yazid yang masing-masing menghadapi dua pertuduhan membabitkan keganasan.

Yazid, 51, didakwa menggalakkan keganasan bagi memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria di antara pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi, 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012 di rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, Yazid yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) didakwa menjadi ahli kumpulan Tanzim Al-Qaeda Malaysia di tempat sama di antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari 2013.

Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Muhammad Hilmi pula dibicarakan atas tuduhan menjadi ahli kumpulan terbabit dan bersubahat dalam menggalakkan keganasan bagi memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria.

Terdahulu, suasana di mahkamah bertukar suram apabila saksi tersebut menceritakan mengenai pertemuan pertamanya dengan Mohd. Razif pada 29 Oktober 2012 yang pada ketika itu telah ditahan oleh pihak berkuasa di Beirut, Lebanon.

“Masa itu 26 Oktober 2012 (Jumaat), hari itu Hari Raya Haji. Saya dapat panggilan daripada seorang wanita dari Wisma Putra memberitahu yang anak saya, Mohd. Razif terlibat dalam satu kesalahan yang mana dia sendiri takut nak sebut nama organisasi yang terlibat.

“Lepas berbincang dengan keluarga dan berhubung sendiri dengan Duta Malaysia ke Lebanon, Ilango Karuppannan yang memberitahu anak saya akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin, saya terbang ke Beirut esoknya.

“Tiba di sana, pada hari Ahad dan saya telah melantik peguam bagi pihak anak saya. Pada hari itu, hakim membenarkan saya bertemu dengan anak saya di kamar hakim selama lima minit. Dalam keadaan bergari, dia (Mohd. Razif) beritahu saya Pa, we didn’t do anything wrong (Ayah, kami tidak melakukan apa-apa kesalahan),” katanya yang mula sebak dan menangis.

Mohd. Ariff juga memberitahu, peguam yang dilantik olehnya memaklumkan bahawa anaknya yang bekerja sebagai pemasang pendingin hawa serta elektrik dan seorang lagi lelaki bernama Mohd. Razin telah didakwa menyertai sebuah organisasi bersenjata serta akan dituduh mengikut tiga akta yang berbeza.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, anaknya dan rakannya itu masih belum dibicarakan, jelas Mohd. Ariff.

Beliau juga dalam keterangannya hanya mengetahui anaknya telah pergi ke Turki beberapa hari sebelum mendapat panggilan telefon itu selepas menemui sekeping resit yang mengandungi maklumat penerbangan dan agensi pelancongan yang mengeluarkan tiket tersebut.

Sebelum mahkamah berhenti bersidang, Hakim Datuk Mohd. Azman Husin mengarahkan pihak-pihak terlibat untuk memfailkan hujahan bertulis mengenai saksi pendakwaan keenam, wartawan akhbar The Star, S. Tarshini sebelum atau pada 30 April ini.

Perbicaraan bersambung 5 Mei ini.
 
Back
Top
Log in Register