RUU Mufti elak istilah ASWJ 'diculik' golongan ekstrem, radikal
Asrol Awang
[email protected]
Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dapat elak umat Islam terpengaruh dengan golongan ekstrem dan radikal yang sanggup membunuh Muslim seperti berlaku di Ulu Tiram. - Foto NSTP
KUANTAN: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) yang mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari sudut akidah bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah, manakala fiqh mazhab Shafie dengan meraikan tiga mazhab lain perlu disokong umat Islam sepenuhnya.
Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim, berkata RUU itu sangat relevan dan penting atas semangat Persekutuan memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai institusi menaungi Islam di negara ini.
Oleh itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai antara agensi agama Persekutuan dipimpin mufti mesti mengikuti dan menghayati semangat Persekutuan yang utuh sejak penubuhan Malaysia.
"Majlis Raja-Raja pula penaung kepada institusi agama negara dengan menyokong sebulat suara RUU ini.
Sebagai aliran zaman-berzaman di negara ini dan paling terbuka serta fleksibel dengan warisan, adat istiadat dan amalan majoriti umat Islam baik dalam kalangan rakyat atau bangsawan, ia menjadi identiti dan keunikan umat Islam.
"Banyak amalan tradisi Raja-Raja Melayu seperti bacaan Yasin dan tahlil dibenarkan kerana kesederhanaan aliran ini. Aliran ini tidak jumud, sebaliknya amat terbuka, tidak bersikap mengkafir atau menyesatkan secara senyap-senyap.
"Terdapat pelbagai adat istiadat termasuk adat istiadat di istana menjadi warisan penduduk umat Islam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Asmadi berkata, warisan dan adat istiadat ini akhirnya membentuk identiti serta jati diri umat Islam di negara ini hanya dapat dipertahankan dengan fahaman aliran terbuka, tidak jumud, fleksibel dan harmoni, iaitu aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Buktinya, katanya, masih banyak warisan dan adat istiadat masih kekal di negara ini kerana aliran al-Asyairah dikenali sebagai aliran paling toleransi dan progresif sejak zaman-berzaman.
"Aliran ini tidak terbabit langsung dengan ekstremisme dan mampu mengekang fahaman radikal di negara ini, sekali gus dapat menangkis seumpama kes di Ulu Tiram, Johor yang sanggup membunuh sesama Muslim.
"Mereka juga 'menculik' terma ASWJ. Kita kena elakkan penculikan ini," katanya.