ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Nawi melepaskan ikan air tawar di Ampangan Jajar, Hulu Besut bagi meningkatkan populasi ikan.
HULU BESUT - Kerajaan negeri menyarankan komuniti nelayan khususnya nelayan darat untuk sama-sama menjaga sumber perikanan agar tidak dieksploitasi pihak tertentu secara tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata, antara kaedah penangkapan ikan secara tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang -undang adalah penggunaan racun, bom ikan dan renjatan elektrik.
Menurutnya, nelayan atau masyarakat mempunyai peranan untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mendapati ada pihak yang melakukan perbuatan tidak dibenarkan di kawasan masing-masing.
"Sekiranya dibiarkan, lama kelamaan sudah tentu pendapatan nelayan khususnya nelayan darat akan terjejas, bahkan stok ikan sungai di negeri ini akan berkurangan malah berdepan ancaman kepupusan," katanya.
Lepas ikan, udang di sungai
Nawi turut berharap agensi berkaitan dapat mengambil langkah terbaik dan proaktif untuk mengekang masalah ini kerana tanpa penguatkuasaan ketat, sudah tentu lama kelamaan akan merugikan rakyat dan negeri.
Menurutnya, selaras dengan usaha untuk melestarikan sumber perikanan darat di negeri ini, kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan berkaitan selama ini telah melakukan pelbagai usaha antaranya mengadakan aktiviti pelepasan benih ikan dan udang ke sungai serta tasik.
"Tujuannya adalah untuk menambah bilangan ikan yang mana sumbernya semakin berkurangan, disebabkan aktiviti penangkapan yang berlebihan dan kekurangan kawalan pengurusan sumber.
"Dengan cara sebegini, kita harap sumber perikanan dapat dimapankan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan terutama nelayan darat di sekitar sungai," katanya.
Malah, beliau turut membayangkan kemungkinan kerajaan negeri akan memperbanyakkan lagi santuari ikan air tawar seperti santuari kelah sedia ada di Tasik Kenyir.
Sementara itu, Nawi turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang hanya disebabkan ingin memperoleh hasil dengan cepat, kerana keseronokan itu hanya bersifat sementara dan tindakan sedemikian akan menyebabkan ikan pupus.
Kata Nawi lagi, kesudahannya keseronokan atau ketamakan bersifat sementara itu akan menyebabkan mereka tidak berpeluang lagi menikmati ikan sungai.
Menurutnya, kepupusan ikan sungai terutama spesies berharga seperti kelah, patin dan baung akan menyebabkan generasi masa depan juga tidak berpeluang menikmatinya.