Cikgu datang MSAM menang Ford Ranger
ADLI Daud. FOTO Mohd Yusni AriffinMOHD YUSNI ARIFFIN
Temerloh: Seorang guru tidak menyangka kunjungan singkatnya ke pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017 di Dataran Temerloh membawa tuah baginya apabila memenangi Ford Ranger, hari ini.
Lebih manis lagi, hadiah cabutan bertuah itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam majlis perasmian MSAM, di sini.
Adli Daud, 41, berkata, dia singgah sebentar ke pameran MSAM untuk menghantar isterinya, Nurul Fadilah Zainal Abidin, 39, yang mengiringi anak muridnya ke majlis itu.
"Isteri memasukkan namanya dan saya dalam kotak cabutan bertuah itu dan memaklumkan kepada saya namun ketika itu saya langsung tidak menyimpan harapan kerana sibuk dengan kelas.
"Namun ketika waktu rehat saya mendapat panggilan telefon memaklumkan nama saya terpilih dan meminta saya ke tapak pameran ini dalam masa 20 minit... menggeletar jugalah tangan ini apabila menerima hadiah daripda PM (Perdana Menteri)," kata guru Sekolah Kebangsaan Belengu ini.
Dia ditemui selepas menerima hadiah berkenaan dalam majlis perasmian MSAM 2017 di Dewan Tun Razak, di sini.
Katanya, dia sebelum ini sering memenangi cabutan bertuah namun hadiah hari ini adalah yang paling mewah yang pernah dimenanginya.
"Saya sememangnya mempunyai perancangan untuk membeli kenderaan pacuan empat roda dalam masa tiga atau empat tahun lagi, tidak sangka pula rezeki saya tiba lebih awal," katanya.
http://www.hmetro.com.my/node/223093