Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,879
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,879
- Reaction score
- 290
- Points
- 146
Aroma nasi dagang yang dijual di tepi jalan, kepulan asap satar dibakar di atas bara serta deretan kedai keropok lekor, semuanya seakan membawa pengunjung ke negeri Pantai Timur di Kelantan dan Terengganu.
Namun, ini bukan di Kuala Terengganu atau Kota Bharu, sebaliknya di Mersing, Johor, sebuah daerah pesisir yang terletak kira-kira 136 kilometer dari Johor Bahru dan bersempadan dengan negeri Pahang di utara.
Ketua Kampung Seri Lalang Laut/Mersing Kanan Ahmad Farid Husin berkata penghijrahan besar-besaran masyarakat Pantai Timur ke Mersing bermula pada akhir 1960-an, apabila ramai nelayan dari Terengganu dan Kelantan datang secara bermusim untuk turun ke laut, akhirnya menetap di kawasan ini.
“Ayah saya sendiri datang dari Terengganu. Ramai nelayan waktu itu berhijrah ke sini, kahwin dengan orang tempatan, lalu membina keluarga. Sekarang, daripada kira-kira 200 keluarga di Kampung Seri Lalang Laut, 70 hingga 80 peratus ada darah Pantai Timur.
“Kalau sebut Mersing Kanan atau Kampung Tanjung, memang orang tahu banyak orang Terengganu dan Kelantan. Bahasa, makanan, suasana kampung, semua ada ciri Pantai Timur,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Tradisi Pantai Timur di sini bukan sekadar pada makanan, tetapi juga gaya hidup dan antara yang masih kekal, iaitu permainan dam soksek yang seakan dam haji, dimainkan di sebuah wakaf setiap petang oleh penduduk kampung selepas pulang dari laut.
“Dulu dimainkan semasa musim tengkujuh oleh nelayan yang tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan tapi sekarang menjadi permainan harian oleh masyarakat di sini pada sebelah petang waktu rehat selepas menangkap ikan,” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Mersing Mohd Sufian Ghazal berkata hampir separuh daripada keanggotaan persatuan terdiri nelayan asal Pantai Timur yang membawa bersama tradisi serta teknik menangkap ikan dari daerah mereka.
Mersing ‘Mini Pantai Timur’ Di Selatan Tanah Air
Mersing, dam soksek, Pantai Timur, penghijrahan,