Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,877
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,877
- Reaction score
- 290
- Points
- 146
Menjadi Kerajaan Ujian Sebenar Kepada Reformasi - Zaliha
Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa
Menjadi kerajaan bukan penamat kepada perjuangan Reformasi, sebaliknya menjadi ujian sebenar bagi membuktikan keberanian dan kebijaksanaan untuk melaksanakan perubahan, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata perjuangan reformasi yang diterajui PKR selama 27 tahun, tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai usaha untuk mengambil alih pentadbiran negara, sebaliknya bertujuan mengubah cara negara ditadbir.
“Sejak bila laungan reformasi itu hanya slogan untuk masuk ke Putrajaya? Kalau perjuangan selama 27 tahun kita ini hanya bertujuan menukar siapa yang duduk di kerusi kerajaan, maka perjuangan kita itu terlalu kecil.
“Matlamat utama kita adalah untuk ubah cara negara ini ditadbir,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Zaliha berkata selepas PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan, parti itu kini memikul tanggungjawab besar untuk menterjemahkan agenda reformasi melalui pengukuhan institusi dan tatakelola, pembanterasan rasuah serta salah guna kuasa, selain memastikan keadilan dapat dirasai segenap lapisan rakyat.
Beliau berkata selain itu, anggota PKR juga perlu berani menegur dan membetulkan sebarang kelemahan yang timbul dalam kalangan mereka sendiri.
“Melakukan islah juga menuntut kebijaksanaan. Reformasi bukan bermakna semua perkara mesti diubah sekali gus dalam satu malam. Ada keutamaan yang perlu ditentukan...ada perubahan yang boleh dibuat segera, dan ada perubahan yang memerlukan masa, rundingan dan persediaan supaya ia benar-benar bertahan,” katanya.
Mengambil iktibar daripada kisah Khalifah Umar Abdul Aziz seperti yang disentuh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan perasmian kongres semalam, Zaliha berkata perubahan perlu dilaksanakan secara berperingkat tanpa mengorbankan matlamat perjuangan.
“Berperingkat itu bukan bermakna bertangguh. Berhati-hati bukan bermakna kita sudah hilang keberanian untuk melakukan reformasi. Apa yang penting, arah kita mesti jelas. Kita mesti tahu apa yang hendak dibetulkan dan kita mesti terus bergerak ke arahnya,” katanya.