kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,715
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,715
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Malaysia Sasar Nilai Eksport Peranti Perubatan Lebih RM50 Bilion Menjelang 2030 - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan majlis penutupan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di sini, hari ini.
Malaysia menyasarkan eksport peranti perubatan bernilai lebih RM50 bilion menjelang 2030, melonjak daripada RM34.54 bilion yang direkodkan tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran eksport itu merupakan satu daripada tiga aspirasi yang dicadangkan untuk mengukur kemajuan negara dalam membangunkan industri teknologi perubatan (MedTech) menjelang 2030.
“Kita mempunyai tapak pembuatan, akses pasaran dan keyakinan global.
“Bagaimanapun, fasa pertumbuhan eksport seterusnya mesti semakin meningkat, dipacu produk bernilai tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2026 di sini, hari ini.
Aspirasi kedua adalah untuk memajukan sekurang-kurangnya 10 juara MedTech Malaysia yang mampu bersaing pada peringkat serantau dan global.
Ahmad Zahid berkata Malaysia akan terus mempelawa kalangan syarikat MedTech antarabangsa yang terkemuka di samping membangunkan firma tempatan yang mencipta teknologi, harta intelek sendiri dan bersaing dalam arena antarabangsa.
Aspirasi ketiga pula, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pekerjaan yang diwujudkan oleh pelaburan baharu teknologi perubatan menjelang 2030 adalah jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS).
Beliau berkata indeks MTS sektor peranti perubatan hanya berada pada 33.1 peratus pada 2025.
“Modal boleh mengalir masuk ke Malaysia manakala keupayaan dan kepakaran mesti kekal di Malaysia. Jika kita serius menjadikan sektor ini sebagai industri bernilai tinggi, justeru pekerjaan yang diwujudkannya juga mestilah menjadi pekerjaan yang semakin bernilai tinggi,” katanya.