kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Malaysia Hampir Capai 32 Peratus Kapasiti Tenaga Boleh Baharu Setakat Jun - TPM Fadillah
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud menandatangani plak pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar LSS5 di Pasir Mas hari ini.
--fotohERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Malaysia hampir mencapai 32 peratus kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) setakat Jun lepas, sekali gus meletakkan negara di landasan tepat untuk mencapai sasaran 35 peratus menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan kemajuan berterusan negara dalam melaksanakan agenda peralihan tenaga menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Katanya, sehingga Disember 2025, Malaysia telah mencapai 31 peratus kapasiti terpasang TBB seperti yang disasarkan kerajaan, manakala sasaran seterusnya ialah meningkatkan kapasiti itu kepada 35 peratus pada 2030 dan 70 peratus menjelang 2050.
“Melalui NETR, kerajaan telah menggariskan hala tuju yang jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara.
"Peralihan tenaga bukan satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar (LSS5), di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata kerajaan akan terus komited memastikan peralihan tenaga negara dilaksanakan secara seimbang berasaskan prinsip keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian, selain memperkukuh akses kepada bekalan elektrik hijau yang berdaya saing bagi menyokong agenda peralihan tenaga negara dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Beliau berkata projek Solar Berskala Besar (LSS5) di Pasir Mas merupakan manifestasi keyakinan pelabur terhadap dasar tenaga negara serta membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sektor swasta dalam memacu ekonomi rendah karbon yang mampan dan berdaya saing.
"Projek itu turut dijangka menyumbang kepada bekalan elektrik negara, mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, meningkatkan pembangunan industri sokongan serta memberi limpahan manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan secara keseluruhannya,” katanya.
Fadillah berkata Kelantan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kapasiti TBB khususnya tenaga solar bagi penjanaan elektrik, didorong keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri serta penyertaan aktif sektor swasta.