BTC USD 76,377.0 Gold USD 4,296.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

"Makkah Route" Masuk Tahun Kelapan, Malaysia Zahirkan Penghargaan Kepada Kerajaan Arab Saudi

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,771
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,771
Reaction score
289
Points
146
4c2e32dd298abd17a8980e55cb30ea1569e2d208e01fd


Malaysia menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas inisiatif Makkah Route yang terus memberi banyak manfaat kepada jemaah haji negara ini sejak ia diperkenalkan lapan tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan pelbagai inisiatif dan program, termasuk kad Nusuk dan inisiatif Makkah Route, yang sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Alhamdulillah, saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas pelbagai inisiatif dan program yang sangat baik ini.

“Saya percaya dari semasa ke semasa kualiti perkhidmatan semakin bertambah baik, Alhamdulillah ini banyak membantu kita dan jemaah haji kita juga sangat gembira,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1447H/2026M di Terminal 1 (T1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi.

Zulkifli berkata jemaah haji Malaysia telah memberikan maklum balas yang positif memandangkan program tersebut membantu mempercepatkan urusan serta mengurangkan kesukaran di pintu masuk ke Arab Saudi.

Sementara itu, Osamah berkata kerjasama antara kedua-dua negara dalam menjayakan Makkah Route mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Ini tahun kelapan Makkah Route, ia telah memberikan kemudahan kepada jemaah haji Malaysia dan insya-Allah perkhidmatan ini memang memberikan pelbagai manfaat kepada mereka. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih atas usaha ini," katanya kepada pemberita dalam bahasa Arab dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Zulkifli.

Malaysia merupakan negara pertama terpilih bagi pelaksanaan program perintis itu pada 2017, dan diteruskan hingga kini.

 
Back
Top
Log in Register