kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,694
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,694
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
MAHA 2026: LPNM Catat Potensi Pelaburan RM2.3 Bilion, Pacu Transformasi Industri Nanas
Temubual eksklusif bersama Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M.Salleh sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Laman Veterinar, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS)
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mencatatkan potensi pelaburan bernilai lebih RM2.3 bilion menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai sepanjang 10 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) 2026 yang berakhir semalam.
Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata nilai berkenaan menyumbang lebih 25 peratus daripada keseluruhan sasaran pelaburan RM8 bilion yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi MAHA 2026.
Beliau berkata pencapaian itu didorong strategi baharu pembangunan industri yang memberi tumpuan kepada pemprosesan hiliran dan penghasilan produk bernilai tinggi, selaras dengan permintaan pasaran.
“Ini termasuklah pembangunan produk inovasi bahan pemanis semula jadi berasaskan ekstrak nanas varieti SG1 dan MD2 bagi menggantikan gula dan stevia, khusus untuk pasaran kesihatan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Khairuzamri berkata produk berkenaan dihasilkan menerusi penyelidikan berasaskan keperluan pasaran dengan kerjasama tiga pihak utama, iaitu LPNM, penyelidik dan pengusaha industri sejak peringkat awal pembangunan.
Beliau berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), LPNM akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan nilai industri nanas berikutan bekalan untuk pasaran eksport masih terhad walaupun Tahap Sara Diri (SSR) nanas negara kini mencapai 102 peratus.
Menurut Mohd Khairuzamri, pengeluaran nanas negara melebihi 500,000 tan metrik setahun daripada kira-kira 20,000 hektar kawasan penanaman, namun kekangan tanah di Semenanjung memerlukan penggunaan teknologi dan varieti baharu bagi meningkatkan hasil.
“Kita tak boleh meningkatkan pengeluaran melalui peluasan kawasan atau pembukaan kawasan baharu sebab di Semenanjung ini tanahnya terhad. Jadi, apa yang kita buat, kita bawa teknologi di atas tanah yang sama tetapi untuk pengeluaran yang lebih luar biasa.
“Contohnya, kita bawa varieti SG1 yang boleh ditanam dengan kepadatan lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat. Jadi, kalau kita lihat dari segi jumlah pengeluaran untuk seekar yang boleh dihasilkan oleh SG1 ini, ia boleh mencapai sehingga 30 tan berbanding nanas lain, contohnya MD2 mungkin satu ekar itu lebih kurang dalam 20 ke 25 tan,” katanya.