balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri berjaya mematahkan penjualan barang-barang tiruan terbesar dengan merampas 15,635 barang bernilai hampir RM500,000 di Jalan Permaisuri Bainun di sini, semalam.
Bagai dapat menghidu kehadiran penguatkuasa, kira-kira 15 pemilik premis lain yang berada di lokasi kejadian sempat menutup kedai mereka bagi mengelakkan ia diserbu pasukan terbabit kira-kira jam 11 pagi.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, serbuan pasukan 17 anggota yang diketuai Penolong Pengawal Perihal Dagangan, Nor Rahmat Abd Rahaman itu dibuat hasil aduan orang awam serta risikan terhadap bangunan yang dikenali sebagai Low Yat Ipoh.
Menurutnya, serbuan itu membabitkan pelbagai aksesori telefon bimbit berjenama Samsung dan Iphone serta fon kepala berjenama Beats. Selain itu, pelbagai kasut dan pakaian jenama Adidas dan Nike turut dirampas.
“Barang-barang yang disita tersenarai dalam ‘basket of brands’ KPDNKK dan tindakan proaktif telah dijalankan untuk membanteras penjualan barang-barang tiruan ini. Penjual cuba meraih keuntungan dengan menjual barangan tiruan itu pada harga original.
“Hasil siasatan awal mendapati barang-barang yang disita ini adalah untuk pengedaran dan penjualan secara borong atau runcit di sekitar kawasan Ipoh dan daerah lain. Selain itu, ia menjadi tumpuan pengguna untuk mendapatkan barangan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat KPDNKK Negeri di sini. Hadir sama Pengarah KPDNKK Negeri, Meor Ismail Meor Akim dan Timbalannya, Mohd Khalis Kasim.
Samsudin berkata, lima pemilik premis berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 dan 8 Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan, setiap barangan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk individu manakala, bagi syarikat pula boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu,” katanya.
Katanya, KPDNKK akan terus aktif membanteras aktiviti penjualan barang tiruan dan sehingga November ini, sebanyak 202 kes berjaya kes dihasilkan dan 10 daripadanya melibatkan barang-barang tiruan.
“KPDNKK bertanggungjawab melindungi pengeluar produk tulen dan berdaftar dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan penjualan produk tiruan dipasang dengan telefon talian bebas tol 1-800-886-800 atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip ‘KPDNKK ADUAN <butiran aduan> ke 15888 serta lapor ke mana-mana pejabat KPDNKK,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap video cakera padat (VCD) cetak rompak yang berleluasa di negeri ini.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/low-yat-ipoh-diserbu-1.452523