combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Lima Pesara Disantuni Menerusi Program Ziarah Kasih Merdeka JPA
--kredit Jabatan Perkhidmatan Awam
Jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang menyumbang kepada pembentukan, keamanan dan kedaulatan negara terus dihargai menerusi Program Santuni Pesara (Ziarah Kasih Merdeka) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Program bersempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan itu menyaksikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menyantuni lima pesara kerajaan di sekitar Lembah Klang hari ini, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap khidmat bakti mereka kepada negara.
JPA dalam satu kenyataan memaklumkan dua daripada lima pesara berkenaan memulakan perkhidmatan sebelum negara merdeka, sekali gus menjadi sebahagian daripada generasi yang menyaksikan perjalanan tanah air menuju kemerdekaan.
Samy @ Thambirajah Ponnusamy, 94, yang mula berkhidmat dengan Keretapi Tanah Melayu pada 1951, antaranya terlibat menguruskan pergerakan kereta api dan pengunjung ke Stadium Merdeka sewaktu detik bersejarah Hari Kemerdekaan.
Seorang lagi pesara, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh, 96, memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1953, sebelum memainkan peranan dalam usaha perang saraf menentang ancaman komunis menerusi Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia.
Selain itu, JPA turut menyantuni bekas anggota pasukan keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan keamanan negara selepas kemerdekaan dicapai.
Bekas Koperal Batalion ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja Ismail Rejab, 76, pernah terlibat dalam serang hendap pengganas komunis di Kedah pada 1975, yang mengorbankan tujuh anggota pasukan keselamatan serta mencederakan lapan yang lain, selain beliau turut mengalami kecederaan pada bahagian pinggang.
Bekas Mejar Raja Musa Raja Abdul Rahman, 74, pula kehilangan penglihatan mata serta kaki kanan selepas terkena jerangkap samar ketika terlibat dalam Ops Gerakan di Bentong, Pahang pada 1978.
Turut disantuni ialah bekas Timbalan Komisioner Polis Datuk Kamaruddin Hamzah, 82, yang pernah mengetuai konvoi keselamatan dalam pertempuran menentang komunis di Betong serta peristiwa Ban Na Lee pada 1968.