hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,485
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,485
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH SIBU : KEJADIAN LANGGAR MELIBATKAN SEBUAH KERETA DAN MOTOSIKAL – VIDEO TULAR DI MEDIA SOSIAL.
Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu telah mengesan satu rakaman video berdurasi lebih kurang 1 minit 29 saat yang tular di laman media sosial Facebook, menunjukkan kejadian sebuah kereta telah melanggar sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggang motosikal tersebut terjatuh.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Oya berhampiran SMK St. Elizabeth, Sibu, di mana pemandu kereta terbabit telah bertindak melarikan diri selepas kejadian dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di sekitar lokasi berkenaan.
Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah berjaya menahan pemandu kereta berkenaan bagi membantu siasatan. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine.
Sehubungan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sibu telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam. Jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima (5) tahun dan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit (RM5,000) dan tidak melebihi lima belas ribu ringgit (RM15,000) serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada dua (2) tahun.
Dalam masa yang sama, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berikutan keputusan ujian air kencing yang positif dadah jenis amphetamine. Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit (RM5,000) atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Polis Diraja Malaysia menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus.
Sumber