Lelaki didakwa kerana biayai pengganasan berkait Gaza; tidak mengaku bersalah
Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa di mahkamah pada Rabu (29 Julai) atas tuduhan membiayai kegiatan pengganasan menerusi pindahan wang yang dipercayai bertujuan untuk menyokong serangan di Gaza.
Saw Ryan Htoo, warga Myanmar dan Penduduk Tetap (PR) Singapura, berkata bahawa dia tidak akan mengaku bersalah dan keluarganya akan mendapatkan khidmat peguam.
IKLAN
Menurut kertas pertuduhan, dia dituduh memindahkan AS$72.28 (S$93) sekitar 9 Ogos 2024 ke akaun PayPal milik seorang individu bernama Bradley Sainsbury.
Pindahan wang itu dipercayai bertujuan untuk memudahkan tindakan pengganasan di Gaza City.
Lebih seminggu kemudian, sekitar 19 Ogos, tertuduh cuba memindahkan lagi AS$1 (S$1.29) ke satu lagi akaun PayPal yang dikaitkan dengan seorang individu bernama Meredith Pollick.
Pindahan wang itu juga dipercayai bertujuan untuk memudahkan tindakan pengganasan di Gaza.
Dalam satu kenyataan media sebelum ini, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan kes tersebut terbongkar selepas catatan berunsur ekstremis yang dimuat naik tertuduh ke internet menarik perhatian pihak berkuasa.
IKLAN
Perkara itu mencetuskan siasatan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Menurut ISD, tertuduh dipercayai menjadi radikal selepas terdedah kepada kandungan fahaman pelampau online.
Pada 2024, tertuduh mula membenci umat Islam selepas terpengaruh dengan bahan berunsur Islamofobia menyusuli serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
MHA turut menyatakan dia berpegang kepada tafsiran ekstremis terhadap fahaman Yahudi.
Dia dipercayai menganggap keganasan terhadap penduduk Islam Palestin sebagai sesuatu yang wajar atas kepercayaan bahawa tanah suci yang dimaksudkan adalah hak eksklusif orang Yahudi.
IKLAN
Menjelang awal 2025, tertuduh juga mula membenci orang Yahudi selepas terdedah kepada naratif pelampau berhaluan kanan dan anti-Yahudi di media sosial.
Dia kemudian dituduh memuat naik catatan yang menyokong keganasan terhadap orang Yahudi, umat Islam dan kumpulan lain yang sering menjadi sasaran pelampau berhaluan kanan, termasuk golongan pendatang di Eropah dan masyarakat LGBT.
Siasatan ISD mendapati tertuduh berhubung menerusi platform media sosial X dengan seorang pengguna di luar negara yang mengatakan bahawa dirinya sedang mengumpul sumbangan untuk membeli kelengkapan ketenteraan.
Tertuduh dipercayai menyangka wang tersebut akan digunakan bagi memudahkan serangan di Gaza yang bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin, termasuk orang awam.
ISD kemudian merujuk kes berkenaan kepada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) bagi menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan membiayai kegiatan pengganasan.
IKLAN
Siasatan berasingan oleh CAD mendapati tertuduh dipercayai telah memindahkan AS$72.28 (S$93) dan cuba membuat satu lagi pindahan wang sebanyak AS$1 (S$1.29) ke dalam akaun PayPal yang ditetapkan oleh pengguna X tersebut.
Kes itu ditangguhkan sehingga Ogos bagi persidangan praperbicaraan.
Jika disabit kesalahan membiayai kegiatan pengganasan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$500,000, atau kedua-duanya sekali. Hukuman yang sama turut dikenakan bagi percubaan membiayai kegiatan pengganasan.
Lelaki didakwa kerana biayai pengganasan berkait Gaza; tidak mengaku bersalah
Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa di mahkamah pada Rabu (29 Julai) atas tuduhan membiayai kegiatan pengganasan menerusi pindahan wang yang dipercayai bertujuan untuk menyokong serangan di Gaza.
