Lelaki akan didakwa kerana sembunyikan pisau dalam stoking di Lapangan Terbang Changi
Lelaki itu dipercayai menyembunyikan sebilah pisau yang dibalut dengan beberapa lapisan beg plastik di dalam stokingnya. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (29 Ogos) selepas dipercayai cuba membawa sebilah pisau melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Changi.
Polis dimaklumkan mengenai kes itu sekitar pukul 1.10 tengah hari pada Khamis. Lelaki berkenaan dipercayai menyembunyikan pisau tersebut di dalam kasut yang dipakainya di kawasan pemeriksaan dewan keberangkatan Terminal 4.
IKLAN
Pisau sepanjang 19.5 sentimeter dengan bilah sepanjang 12 sentimeter itu disembunyikan di dalam stoking. Ia dibalut dengan beberapa lapisan beg plastik dan dirapikan dengan pita pelekat, menurut polis.
Seorang pegawai keselamatan penerbangan Certis Cisco yang mengendalikan mesin X-ray mengesan objek tajam yang mencurigakan di dalam kasut kanan lelaki itu selepas dia diarahkan menanggalkan kasut sebelum melalui lorong pemeriksaan.
“Lelaki itu kemudian dibawa ke sebuah bilik pemeriksaan, di mana sebilah pisau bersama sarungnya ditemui disembunyikan di dalam kasutnya,” kata polis.
Lelaki itu akan didakwa atas kesalahan membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Jika sabit kesalahan, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya enam sebatan.
Polis menegaskan bahawa pihaknya memandang serius terhadap sebarang percubaan membawa senjata berbahaya ke tempat awam.
IKLAN
“Para pelawat diingatkan bahawa sesiapa yang didapati memiliki senjata berbahaya tanpa tujuan yang sah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” tambah polis.
IKLAN
Lelaki akan didakwa kerana sembunyikan pisau dalam stoking di Lapangan Terbang Changi
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Indonesia berusia 32 tahun akan didakwa di mahkamah pada Sabtu (29 Ogos) selepas dipercayai cuba membawa sebilah pisau melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Changi. Polis dimaklumkan mengenai kes itu sekitar pukul 1.10 tengah hari pada Khamis...