Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
LCS: PAC Syor Laporan Kemajuan Bertulis Dikemuka Setiap Tiga Bulan
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar laporan kemajuan bertulis mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) dikemukakan kepada jawatankuasa itu setiap tiga bulan bermula Mei bagi memastikan setiap kelewatan atau isu baharu ditangani lebih awal.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan juga perlu mengekalkan disiplin kewangan yang ketat bagi memastikan kos keseluruhan kontrak projek LCS kekal di bawah siling RM11.22 bilion seperti yang telah dimuktamadkan.
Beliau berkata MINDEF juga hendaklah memastikan projek itu berjaya direalisasikan sehingga lima buah kapal diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut garis masa dan kos yang ditetapkan.
“Kontraktor pembina LCS Lumut Naval Shipyard (LUNAS) perlu memastikan stok waranti bagi peralatan kritikal seperti radar sentiasa mencukupi bagi mengelakkan kelewatan berulang akibat kegagalan vendor antarabangsa.
“Kerajaan hendaklah memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.
Mas Ermieyati berkata Penyata PAC berhubung Laporan Kemajuan Kapal Peronda Generasi Kedua bagi TLDM di bawah MINDEF dibentangkan kepada Dewan Rakyat hari ini dan PAC akan terus memantau projek tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata jawatankuasa itu turut mengesyorkan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai atau prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi bagi Naval Strike Missile (NSM) mengikut terma kontrak yang telah dipersetujui.
Beliau berkata pada 23 Jun, PAC telah memanggil MINDEF bagi mendengar penjelasan komprehensif berhubung tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport NSM bagi projek pembangunan LCS.
Hasil prosiding itu, beliau berkata PAC merumuskan beberapa perkara termasuk kos keseluruhan kontrak LCS kekal pada harga tetap RM11.22 bilion dan segala implikasi kos akibat kerja semula atau pembaikan komponen usang ditanggung sepenuhnya oleh syarikat LUNAS tanpa tambahan dana kerajaan.