afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,224
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,224
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Laporan dibuat terhadap pemimpin Umno berkait ucapan ketika kempen
Laporan polis dibuat terhadap pemimpin Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dan Shukri Shamsuddin, berkaitan kenyataan ketika kempen PRN Negeri Sembilan.
Pasukan peguam Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai beberapa laporan polis daripada individu dan kumpulan masyarakat sivil berkaitan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengenai pelantikan menteri besar.
Pasukan itu berkata pihak penyiasat perlu menentukan sama ada kenyataan Asyraf telah memberikan gambaran yang mengelirukan berhubung proses pelantikan menteri besar, dan sama ada kenyataan tersebut mempunyai implikasi bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Kami percaya bahawa politik tidak seharusnya dibina dengan mengheret isu perkauman ke dalam wacana pilihan raya, lebih-lebih lagi apabila kedudukan undang-undang mengenai pelantikan menteri besar telah pun diperuntukkan dengan jelas dalam Undang-undang Tubuh Negeri.
“Kenyataan yang berpotensi menimbulkan salah faham terhadap kedudukan undang-undang atau mengaitkan kaum sebagai faktor politik boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi,” menurut kenyataan.
Pasukan itu menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan bebas.
Pada 23 Julai lalu, Asyraf dilapor secara menyindir siapa calon menteri besar PH sekiranya Aminuddin Harun tewas di Linggi, yang disifatkan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Siapa lagi kalau bukan Anthony Loke (daripada) DAP. Orang sini nak menteri besar daripada DAP atau tidak?” katanya, sambil menambah BN mempunyai senarai panjang calon layak dipertimbangkan sebagai menteri besar.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, bagaimanapun menyifatkan sindiran itu sebagai ‘cakap-cakap jahat’, mengingatkan bahawa calon menteri besar amat jelas dalam Undang-undang Tubuh Negeri perlu Adun Melayu beragama Islam.
Dalam perkembangan berasingan, DAP Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang lagi pemimpin Umno bahawa parti itu ‘mengawal’ istana.
Setiausaha Publisiti Lim Chun Weng menyifatkan dakwaan Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Shamsuddin, sebagai tuduhan jahat dan tidak bertanggungjawab, lapor Sinar Harian.
“Tak perlu menakut-nakutkan pengundi Melayu dengan mengatakan jika PH menang, Melayu akan hilang kuasa.
“Kita sudah lapan tahun memerintah Negeri Sembilan dan rakyat negeri ini hidup dalam suasana aman dan harmoni,” katanya, selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seremban.
Media itu melaporkan sebelum ini tular video memaparkan seorang individu, dikatakan pemimpin Umno Rembau, mendakwa Istana Negeri Sembilan ‘dipegang’ oleh DAP.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan menegaskan ia sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terbabit mana-mana parti atau kegiatan politik, justeru semua parti politik dinasihat tidak mengaitkannya dalam ceramah dan kempen PRN.