hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,511
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,511
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Lahir sebesar tapak tangan, berat hanya 330 gram
Shenzhen: Hanya seberat 330 gram dan sebesar tapak tangan orang dewasa, namun bayi pramatang yang digelar Little Zebao itu membuktikan saiz bukan penghalang untuk terus berjuang apabila akhirnya pulang dalam keadaan sihat selepas 105 hari menerima rawatan di hospital.
Bayi lelaki itu dilahirkan pada 20 Mei lalu ketika ibunya baru hamil 23 minggu empat hari di Hospital Penjagaan Kesihatan Ibu dan Anak Shenzhen sekali gus diiktiraf sebagai bayi pramatang paling ringan di wilayah Guangdong, lapor South Daily memetik South China Morning Post.
Ketika dilahirkan, keadaan Little Zebao amat kritikal dengan kulitnya yang dilaporkan nipis seperti sayap cengkerik sehingga salur darah kecil dapat dilihat di bawah permukaan manakala tapak kakinya pula lebih kecil daripada ibu jari orang dewasa selain saluran ususnya senipis helaian rambut dan sistem imunnya yang masih belum berkembang.
Sebaik dilahirkan, Little Zebao terus dipindahkan ke unit rawatan rapi neonatal (NICU) untuk menerima rawatan dan penjagaan khas daripada pasukan perubatan hospital berkenaan.
Sepanjang 105 hari menjalani rawatan, berat badan bayi itu meningkat secara beransur-ansur sebelum dia akhirnya dibenarkan keluar hospital pada 1 September lalu dengan beratnya mencapai 2.5 kilogram dan disahkan berada dalam keadaan sihat.
"Jujurnya, pada mulanya kami tidak menyangka bayi ini akan selamat. Kini dia sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital. Saya amat gembira!" kata ibunya kepada media.
Sebagai tanda penghargaan, ibunya turut menyampaikan kain rentang merah kepada pihak hospital yang tertera tulisan Cina memuji kemahiran luar biasa dan sifat penyayang pasukan perubatan yang merawat anaknya.
Bayi itu terpaksa dilahirkan jauh lebih awal daripada tarikh jangkaan selepas ibunya mengalami tekanan darah tinggi kronik dan preeklampsia teruk yang boleh mendatangkan risiko kesihatan besar jika kehamilan diteruskan.
Sebelum kelahiran, pasukan perubatan merangka pelan teliti dan membuat persiapan rapi termasuk memanaskan inkubator, memeriksa peralatan dan menyediakan ubat-ubatan.
Dalam tempoh seminit selepas dilahirkan, doktor memasukkan tiub pernafasan kerana pernafasannya lemah selain membalut kulitnya dengan filem khas bagi mengekalkan kehangatan badan dan mengurangkan kehilangan kelembapan.
Dalam masa kurang setengah jam, jururawat menyambungkan jarum kekal ke arteri tali pusat bagi membolehkan ubat dan nutrien disalurkan terus kepada bayi berkenaan.
"Kami membantunya mengatasi pelbagai cabaran," kata pakar perubatan hospital berkenaan, Dr Huang Zhifeng ketika mengimbas detik kritikal pada hari ketiga apabila kadar denyutan jantung dan ketepuan oksigen dalam darah Little Zebao tiba-tiba merosot sebelum doktor melakukan prosedur tebukan bagi mengeluarkan cecair yang terkumpul dalam karung jantungnya dengan prosedur itu diselesaikan dalam tempoh lebih 10 minit.
Kejadian itu turut mendapat perhatian pengguna internet yang menyifatkannya kelangsungan hidup Little Zebao sebagai satu keajaiban perubatan selain memuji sifat ihsan serta kecekapan pasukan doktor dan jururawat.
Ini bukan kali pertama hospital di Shenzhen itu menyelamatkan bayi pramatang ekstrem. Pada Oktober 2023, seorang lagi bayi yang dilahirkan ketika usia kandungan 21 minggu empat hari berjaya dirawat selama 143 hari sekali gus mencatatkan rekod sebagai bayi pramatang dengan usia kandungan paling muda yang berjaya diselamatkan di China.