combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KPJ Kluang Hospital Pertama Di Selatan Tanah Air Laksanakan Prosedur Rawat Ritma Jantung
Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi di KPJ Kluang Specialist Hospital, Dr Ng Kim Fong (berdiri, dua dari kiri) , Pengarah Perubatan KPJ Kluang Specialist Hospital, Dr Ong Shuh Chong (berdiri, paling kiri) dan pasukan pembedahannya mengambil gambar kenangan susulan kejayaan prosedur pulsed field ablation FARAPULSE yang pertama di wilayah Selatan Malaysia. Foto: KPJ Kluang
KPJ Kluang Specialist Hospital (KPJ Kluang) melakar sejarah sebagai hospital pertama di selatan tanah air yang berjaya melaksanakan prosedur ablasi medan berdenyut (PFA) FARAPULSE bagi merawat gangguan ritma jantung.
KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dalam kenyataan hari ini memaklumkan prosedur menggunakan teknologi PFA FARAPULSE diketuai Pakar Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Dr Ng Kim Fong bersama pasukan elektrofisiologi jantung hospital berkenaan.
Menurut kenyataan itu, berbeza dengan kaedah ablasi konvensional yang menggunakan tenaga haba, teknologi berkenaan menghantar denyutan elektrik terkawal untuk menyasarkan tisu jantung yang tidak normal secara lebih tepat di samping meminimumkan kesan terhadap tisu sekeliling.
“Sebagai pendekatan invasif minimum, PFA berpotensi menawarkan beberapa kelebihan dari segi klinikal kepada pesakit bersesuaian, termasuk kurangnya rasa tidak selesa dan risiko pembedahan serta tempoh prosedur dan pemulihan lebih singkat,” menurut kenyataan itu.
Teknologi yang dilaksanakan oleh seorang pakar residen itu juga mencerminkan kemajuan berterusan dalam rawatan gangguan ritma jantung dan memperluas akses kepada rawatan ritma jantung yang lebih maju di bawah rangkaian KPJ Health System (KPJHS), khususnya bagi pesakit dengan kes yang kompleks.
Hospital itu turut mencatatkan pencapaian sebagai hospital swasta pertama di rantau ini yang melaksanakan prosedur menggunakan peranti Subcutaneous Implantable Cardioverter Defibrillator (S-ICD), sekali gus memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus yang ditawarkan.
S-ICD ialah sebuah peranti yang digunakan untuk memantau ritma jantung dan menawarkan terapi sekiranya berlaku aritmia yang mengancam nyawa. Berbeza dengan sistem konvensional, peranti itu diimplan di bawah kulit dan tiada sebarang elektrod yang diletakkan di dalam jantung atau saluran darah.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan berkata pencapaian itu mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh perkhidmatan kardiak khusus di hospital berkenaan, khususnya dalam memperluas akses kepada rawatan gangguan ritma jantung lanjutan di rantau selatan.
Beliau berkata pengenalan prosedur seperti FARAPULSE PFA memperlihatkan hospital dalam rangkaian itu terus memperkukuh keupayaan subkepakaran serta mengadaptasi pendekatan rawatan lebih baharu, yang menyokong penjagaan lebih tepat dan kurang invasif bagi pesakit.