combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 23,421
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 23,421
- Reaction score
- 321
- Points
- 141
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh bergambar dengan menu RAHMAH mee rojak yang dijual dengan harga RM5 ketika program turun padang Jom Cari Menu RAHMAH yang diadakan Tanjung Gosong di Pekan.
--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh inisiatif Menu Rahmah dengan melancarkan program Jom Cari Menu Rahmah bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap premis yang menawarkan menu harga berpatutan itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sehingga semalam, sebanyak 3,106 premis di seluruh negara termasuk 401 di Pahang menawarkan Menu Rahmah termasuk hospital, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun warung dan restoran.
“Apabila Menu Rahmah diperkenalkan pada 2023, ramai menyangka ia tidak mampu bertahan lama kerana digerakkan secara persendirian tanpa sokongan kerajaan. Namun, alhamdulillah hari ini ia berkembang dengan baik.
“Kami mahu masyarakat tahu Menu Rahmah masih wujud, malah kerajaan menyokong inisiatif ini dengan pelbagai galakan termasuk pemberian Kad Diskaun Khas Menu Rahmah,” katanya selepas merasmikan inisiatif itu di Kedai Warung Lima Ringgit di Kampung Tanjung Gosong di sini hari ini.
Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 31 Jan 2023, bagi membantu mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan.
Menerusi program itu, restoran atau kafe yang mengambil bahagian menjual sajian atau menu pada harga RM5.
Dalam pada itu, beliau berkata kad diskaun khas berkenaan membolehkan peniaga yang menyertai Menu Rahmah membeli bahan mentah asas seperti ayam, bawang dan beras pada harga lebih rendah melalui Jualan Rahmah.
“Contohnya, peniaga boleh membeli sehingga 30 ekor ayam pada harga diskaun. Ini membolehkan mereka terus berkongsi rezeki dengan orang ramai walaupun margin keuntungan lebih kecil,” katanya.
Beliau berkata KPDN turut menyediakan portal rasmi menurahmah.kpdn.gov.my bagi memudahkan peniaga mendaftar serta membolehkan orang ramai mencari lokasi premis Menu Rahmah berdekatan.
KPDN Lancar Program Jom Cari Menu Rahmah
Fuziah Salleh, Menu Rahmah, KPDN, SARA, peniaga