ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Tukiman Radion
KUALA LUMPUR 8 April - Warga asing kini mendominasi kira-kira 90 peratus pasaran kerja-kerja pengubahsuaian rumah yang dianggarkan bernilai RM3 bilion setahun, menurut Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf).
Presidennya, Tukiman Radion berkata, hal itu berpunca daripada tiadanya kewajipan terhadap mana-mana pihak yang mahu menawarkan perkhidmatan kerja-kerja pengubahsuaian rumah, perlu berdaftar dengan kerajaan, melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Jelasnya, situasi itu membuatkan kontraktor-kontraktor tempatan terutamanya kontraktor Bumiputera Kelas F kehilangan pasaran projek-projek baharu.
Kata beliau, warga asing yang kini mendominasi kerja-kerja pengubahsuaian rumah terdiri daripada warga Indonesia.
“Kami berasa sedih dengan keadaan ini, tambahan pula penawaran projek-projek baharu khususnya kontrak kerajaan juga semakin berkurangan disebabkan bilangan kontraktor yang semakin ramai. Kami harap isu ini diberi pertimbangan sewajarnya memandangkan hal ini menjejaskan periuk nasi kontraktor tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kontraktor Kelas F atau mengikut kelas terbaharu, G1 melaksanakan kerja-kerja bernilai di bawah RM200,000 sahaja, dengan bilangannya kontraktor kelas itu kini dianggarkan mencecah 25,000 orang di seluruh negara.
Tukiman bagaimanapun mengakui, sebut harga yang diberikan oleh warga asing adalah lebih murah berbanding kontraktor tempatan, yang menjadi satu kelebihan kepada mereka untuk memenangi hati pelanggan.
Namun katanya, terdapat risiko yang tersendiri apabila menggunakan perkhidmatan kontraktor warga asing yang kemungkinan tidak berdaftar.
“Risiko tersebut seperti pelanggan mungkin ditipu, kualiti kerja yang teruk dan sukar mengambil tindakan perundangan memandangkan kontraktor asing ini tidak berdaftar,’’ katanya.
Jelasnya, Perkobf telah membawa perkara ini kepada CIDB dan pihak-pihak berwajib, namun sehingga kini tiada respon yang diterima oleh persatuan tersebut.
“Malah, kami telah membuat aduan sebegini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bagaimanapun difahamkan arahan yang dikeluarkan oleh kementerian itu tidak diendahkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Perkobf kecewa dengan isu ini. Kontraktor Kelas F hanya mengharapkan perniagaan daripada kerja-kerja daripada kerajaan dan kerja-kerja pengubahsuaian rumah. Jika aktiviti pengubahsuaian rumah sendiri boleh disertai oleh kontraktor asing dan tidak mempunyai lesen, bagaimana kami mahu mencari makan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, kontraktor tempatan perlu berdaftar serta menghadiri kursus dan faktor itu mungkin menyebabkan mereka mengenakan bayaran lebih mahal berbanding kontraktor warga asing yang tidak pun berdaftar.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad pada September lalu berkata, kontraktor-kontraktor pembinaan Bumiputera berskala kecil bakal menghadapi masa depan yang gelap, kerana pengenalan projek-projek pembinaan baharu akan berkurangan pada masa akan datang, selain industri pembinaan kini lebih didominasi oleh kaum Cina kerana kaum itu berkeupayaan menghadapi cabaran industri.