Polis tahan puluhan penunjuk perasaan Papua
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di Jayapura, Papua. - Foto EPA
JAKARTA: Polis Indonesia menahan puluhan penunjuk perasaan di wilayah Papua susulan demonstrasi minggu lalu yang menyaksikan beberapa bangunan dibakar, kata jurucakap polis hari ini.
Rantau Papua dicemari dengan rusuhan ganas selama dua minggu susulan diskriminasi etnik dan perkauman.
Segelintir penunjuk perasaan turut menuntut pilihan raya kemerdekaan diadakan walaupun pihak berkuasa menolak kemungkinan berlakunya perkara itu.
Jurucakap polis, Ahmad Kamal ketika dihubungi melalui telefon berkata, 28 individu ditahan di Jayapura dan dinamakan sebagai suspek manakala ramai lagi akan disoal siasat berhubung pembabitan mereka.
Menurut beliau, kesemua mereka ditahan selepas demonstrasi Ahad lalu.
Kesemua penunjuk perasaan berkenaan membakar kereta dan bangunan, termasuk premis pejabat parlimen serta bangunan yang menempatkan firma telekomunikasi milik negeri.
Menurut Kamal, suasana di Papua lebih tenang ketika ini berbanding sebelum.
Di Jakarta pula, polis menerusi satu kenyataan semalam memberitahu, dua pelajar disyaki terbabit dalam jenayah terhadap keselamatan negara sudah ditahan.
Bukti yang dirampas termasuk telefon bimbit, baju t dan selendang dengan simbol Bintang Kejora iaitu simbol Papua yang diharamkan kerajaan.
Peguam Biro Bantuan Guaman Jakarta, Michael Himan berkata, kedua-dua mereka ditahan di asrama masing-masing di Depok, iaitu bahagian selatan wilayah berkenaan, lewat Jumaat lalu. - Reuters
sumber:
https://www.bharian.com.my/dunia/asean/2019/09/602569/polis-tahan-puluhan-penunjuk-perasaan-papua