kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
KKR Pantau 50 Projek Sakit Seluruh Negara, Tujuh Di Kelantan
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kiri) melihat pelan pembinaan jalan ketika meninjau Projek Menaiktaraf Jalan FT209 dan FT131 Dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor Ke Panchor di Kota Bharu hari ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memantau rapi 50 projek sakit yang dikenal pasti daripada keseluruhan 865 projek di bawah kementerian bagi memastikan pelaksanaannya kembali mengikut jadual.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada keseluruhan projek itu, kira-kira 5.7 peratus berada dalam kategori projek sakit, manakala di Kelantan hanya tujuh daripada 104 projek di bawah KKR dikenal pasti sebagai projek sakit.
Beliau berkata antara punca kepada isu ini adalah masalah kewangan dan pengurusan syarikat, selain isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti serta kewujudan lot timbul yang tidak dikenal pasti pada peringkat awal pelaksanaan projek.
“Setiap projek sakit di Malaysia memang kita kawal dan pantau rapi supaya kita boleh putuskan sama ada ia perlu ditamatkan atau sebaliknya.
“Namun, apabila peratusan projek sakit itu hampir siap, iaitu kira-kira 10 hingga 15 peratus mungkin kita boleh bagi lanjutan masa (EOT) memandangkan kalau kita tamatkan (projek) berkenaan kos akan lebih meningkat untuk melantik kontraktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaik Taraf Jalan FT209 dan FT131 Dari Persimpangan Bertingkat Pasir Hor Ke Panchor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata isu projek sakit turut dibincangkan setiap minggu selepas Mesyuarat Pasca Kabinet bagi meneliti perkembangan semasa serta mengenal pasti langkah penyelesaian yang perlu diambil bagi memastikan projek dapat diteruskan mengikut jadual.
“Saya juga sudah melantik timbalan saya sebagai mengetuai serta memantau projek sakit di seluruh negara agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Setiap minggu perkara ini akan dipantau.
“Bagi projek yang didapati gagal menunjukkan prestasi memuaskan tindakan akan diambil termasuk ada kontraktor yang telah digugurkan dan ditamatkan,” katanya sambil menambah bahawa keputusan ini dibuat dengan teliti dan berdasarkan tatakelola untuk mengelak sebarang risiko tindakan undang-undang.