Kisah 5.13
Dalam masa yang terdekat sahaja aku telah kehilangan seorang sahabat dan juga seorang awek. Aduh, perit jugak nak hadapinya tapi itulah asam garam kehidupan seorang lelaki seperti aku. Konsep hidup aku mudah jer, kalau orang dah tak suka dan tak sudi buat apa lagi nak terhegeh-hegeh menagih kasih dari si dia kan?? Ikut jer kata-kata orang tua dulu "Kumbang bukan sekuntum, Bunga bukan seekor". Mesti korang komplen terbalik daaa... Tapi aku sengaja menterbalikkan sebab aku ni suka fikir cara alternatif gak sesekali hehehe... Sebenarnya alam percintaan aku dengan C, FF dan R ni pun bukanlah selancar mana pun.. Ada masa turun naik. Kali ni aku akan fokus semula kisah aku dengan C sebab memang dia yang paling aku sayang kot walaupun aku masih belum bertemu dengan dia secara berdepan.. Keadaan dan waktu tidak mengizinkan aku untuk bertemu dengan dia.....
Sepanjang tempoh percintaan aku dengan C ni memang penuh dugaan dan cabaran. Aku tahu aku amat sayangkan dia, tapi mungkin jarak antara kami yang memisahkan buat aku jadi tak tentu hala... Aku perlukan seseorang yang berdekatan dengan aku sebagai tempat aku bermanja.. Yang pasti aku ingin bermanja dengan AWEK dan bukan dengan JANTAN atau dengan emak sebab aku dah cukup dewasa.. Takkan dah tua-tua pun nk bermanja dengan mak lagi kan?? Lantaran itulah munculnya FF, R dan J sebagai tempat untuk aku bermanja dan berkongsi kasih sayang aku yang begitu banyak sekali. Jadi tak salah kan? Takkan C tamak nak ambik kasih sayang aku ni untuk dia seorang jer kot?
Dalam aku sibuk berlaku curang tanpa pengetahuan C (Aku curang ker? rasanya tidak.. kan???) aku masih lagi setia melayani berbalas surat, SMS dan juga telefon dia sesekali... Hubungan kami ada juga pasang dan surutnya. Bergaduh, merajuk, memujuk dan merayu dah menjadi asam garam percintaan aku dengan dia. Bosan pun ada gak sebab tak dapat bertemu muka... Salah ke aku? Salah ke C? Atau siapa yang harus dipersalahkan? Tiada siapa pun yang harus dipersalahkan kerana ini semua sudah takdir ketentuan Illahi...
Setelah berfikir dengan masak ranum seperti buah betik yang dah ranum itu maka aku telah mengambil satu keputusan... Mungkin berat atau mungkin juga keputusan yang terbaik dalam hidupku.. Aku berterus terang dengan keluargaku tentang perhubungan aku dengan C dan hasrat hati aku untuk mengambil C menjadi suri hidupku.. Padahal selama ini aku tidak pernah memperkenalkan atau berterus terang dengan keluarga aku tentang wanita yang hadir dalam hidupku ini... Dalam masa yang sama juga aku menyuruh C memaklumkan pada keluarganya tentang perhubungan kami....Mungkin aku sudah nekad? untuk menghabiskan zaman bujangku? Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.. Tidak ku sangka keluarga aku sama sekali tidak setuju dan menentang hasrat aku hanya kerana kami berbeza budaya dan jauh terpisah dengan Laut China Selatan. Emak aku terdiam, ayah aku menyuruh aku fikir lagi masak-masak (jangan sampai hangit dah ler tak?) manakala abangku yang sulung paling kuat menentang. Malah dia pernah berkata jangan lagi panggil dia Abang Long kalau aku nak juga meneruskan niat aku untuk berkahwin dengan C...
Aku kecewa lagi... Sesungguhnya aku tidak mahu menjadi anak derhaka.. Aku kuat berpegang pada prinsip hidup.. "Biar hilang kekasih tapi aku tak sanggup kehilangan keluarga". Setakat kekasih tu bila-bila masa sahaja boleh dicari tetapi keluarga darah daging sendiri??? Boleh dicari kat pasar malam ker? Boleh ditukar ganti seperti menukar baju ker?? Isyk, aku nekad dan aku akan berterus terang dengan C... Biar dia terluka, biar aku yang terluka tetapi melihat seorang emak sedih hanya kerana seorang anaknya degil, itu aku tidak sanggup sama sekali.. Biarlah aku mengorbankan cintaku dengan C... Aku harap C seperti aku, sanggup mengorbankan cintanya pada aku demi kehendak orang tua....
Malam itu aku telefon C, setelah puas menarik nafas dalam-dalam, aku menuturkan segala kata-kata yang tak ingin didengar oleh seorang wanita sepertinya. Bukan kehendakku.. Maafkan aku C... dalam sedu-sedan itu C juga memaklumkan yang keluarganya juga kurang bersetuju dengan pilihannya untuk berkahwin dengan aku.. Memang dah ditakdirkan aku bukan untuk C dan C bukan untukku. Semua pihak menentang perhubungan kami... Maka dengan itu rasmilah berakhir perhubungan aku dengan C. Walaupun dalam hati aku masih terdapat cinta yang amat mendalam dan aku tau dia pun mungkin berperasaan sepertiku.. Masa ini hanya lagu nyanyian Didiy Dores dan Mayang Sari yang bertajuk 'Jangan Pisahkan' kerap ku dengar dan kadang-kala mampu membuat air mata jantanku menitik setitis dua... Gugur juga air mata jantan ni....
...Adakah kisah ini sudah sampai ke penghujung??...