BTC USD 60,726.0 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Khidmat sang strategis

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg


MUKADIMAH - SEJARAH Bank Islam sebagai antara bank terunggul di negara ini bukan dicatat dalam masa semalaman. Pernah mengalami jatuh bangun malah hampir bankrap sekitar tahun 2006 menjadi titik tolak kebangkitan bank itu yang kemudiannya dipacu oleh kehadiran tokoh hebat yang masih setia bersama sehingga kini.

Beliau menunjukkan "taringnya" dalam memulihkan semula bank tersebut menggunakan pengalaman luas sebagai Pengarah Urusan Danaharta bersama pasukan pilihan. Ikuti wawancara bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB yang juga Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat, bersama wartawan Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil, Hafizahril Hamid dan Raja Intan Dianna Raja Azaham baru-baru ini.

MINGGUAN: Mungkin Datuk boleh kongsi sikit rahsia kejayaan Datuk mentadbir Bank Islam selama hampir sembilan tahun malah hampir bankrap, tetapi naik balik dan menjadi antara bank disegani?

ZUKRI: Pada mulanya saya sebenarnya tidak merancang untuk menyertai Bank Islam. Selepas Danaharta ditutup pada 2005, saya tidak bercadang untuk memasuki mana-mana institusi kewangan, sebab saya merasakan apa yang saya sudah capai di Danaharta sudah mencukupi. Namun satu hari, arwah Datuk Razif (bekas Timbalan Gabenor Bank Negara) menghubungi saya dan mengatakan bahawa Bank Islam menghadapi masalah besar.

Masalah pertamanya ialah dari segi pinjaman tidak berbayar dan beliau minta bantuan saya untuk menangani masalah itu berdasarkan pengalaman saya sebagai Pengarah Urusan Danaharta. Pada mulanya saya agak keberatan tetapi apabila Datuk Razif berkata "Datuk sebagai seorang Islam, Datuk bertanggungjawab untuk membantu," hati saya terdetik seketika dan saya mula berfikir.

Setelah memberi pertimbangan sewajarnya, saya mengambil keputusan untuk menerima tawaran tersebut. Saya mula bertugas pada bulan Jun 2006 sebagai Pengarah Urusan. Ketika itu keadaan bank kucar-kacir dan tidak menentu lebih-lebih lagi bank mengalami kerugian hampir RM400 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2005.

Saya dimaklumkan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2006, bank akan mengumumkan satu lagi kejutan yang berupa kerugian yang amat besar iaitu RM1.3 bilion. Ini bermaksud secara teknikalnya, Bank Islam telah pun bankrap pada tahun 2006. Jadi, tugas utama saya ialah mengembalikan bank ke matlamat yang betul dan memulihkan kepercayaan orang ramai. Saya perlu memastikan pelanggan tidak mengeluarkan simpanan dan menutup akaun bank mereka selepas kita umumkan kerugian RM1.3 bilion itu.

Seperti yang kita semua sedia maklum, perbankan memerlukan kepercayaan. Sebenarnya, maju mundur sesebuah bank itu bergantung kepada kepercayaan orang ramai. Sekukuh mana sebuah bank sekalipun, tanpa kepercayaan orang ramai, bank akan runtuh juga akhirnya. Saya dan pasukan pengurusan bank bertungkus-lumus memastikan perkara ini tidak berlaku.

Mungkin Datuk Seri boleh kongsi kisah sebenar yang berlaku?

ZUKRI: Perkara pertama yang kami lakukan ialah berjumpa dengan semua pihak berkepentingan. Ini termasuklah pendeposit-pendeposit besar, pemegang saham, regulator dan juga ahli-ahli politik. Dalam perjumpaan tersebut kami menerangkan kepada mereka tentang masalah yang dihadapi oleh bank dan apakah strategi yang akan kami ambil bagi memulihkan semula Bank Islam. Kami meminta mereka memberi peluang kepada kami untuk berusaha memulihkan semula Bank Islam dan bersama-sama melihat ke hadapan.

Alhamdullillah, mungkin dengan pengalaman yang saya ada sebagai bekas Pengarah Urusan Danaharta telah meyakinkan mereka untuk memberi sokongan kepada kami dalam usaha memulihkan semula Bank Islam. Dengan berkat sokongan semua pihak, ketika kami mengumumkan kerugian RM1.3 bilion pada tahun 2006, bank tidak menghadapi sebarang krisis malah bilangan pendeposit bertambah. Langkah seterusnya adalah untuk menjalankan semua pelan pemulihan yang telah dirancang.

Kejayaan membangunkan Bank Islam mungkin berbeza daripada kepakaran Datuk Seri melalui bank-bank lain dan Danaharta. Boleh berkongsi pengalaman terutamanya ketika di Danaharta.

ZUKRI: Sebenarnya saya telah banyak berkhidmat di bank-bank lain sebelum Bank Islam. Tetapi pengalaman paling berharga yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika di Danaharta. Saya rasa pengalaman yang saya timba di Danaharta banyak membantu saya untuk memulihkan prestasi Bank Islam. Danaharta ditubuhkan pada tahun 1998 berikutan krisis kewangan Asia. Ketika itu, bank-bank di Malaysia banyak mengalami masalah hutang lapuk tidak berbayar (non-performing loan - NPL). Jika tidak ditangani dengan cepat, ia akan memberi kesan buruk kepada sistem kewangan negara, banyak bank akan ditutup dan ekonomi negara mungkin akan lumpuh jika kerajaan ketika itu tidak mengambil langkah-langkah mengatasi masalah tersebut.

Oleh sebab itu, Danaharta ditubuhkan dengan tujuan utamanya, mengambil alih NPL. Selagi ada NPL dalam bank-bank ini, reputasi institusi perbankan berkemungkinan besar akan terjejas, malah bank tidak lagi berminat untuk memberi pinjaman sebab terlalu sibuk memungut semula hutang. Akibatnya, jika tiada institusi perbankan yang memberi pinjaman, ekonomi negara tentu akan menjadi lumpuh. Bagi saya, pengalaman di Danaharta itu amat bermakna dan tidak ternilai. Bayangkan, sebelum ini negara tidak pernah ada institusi seperti Danaharta.

Jadi pasukan kami yang diterajui oleh Tan Sri Azman Yahya ibarat perintis - banyak benda yang kami tidak ketahui, hanya belajar secara sendiri sebabnya tidak ada model, bahan rujukan atau SOP yang boleh diikuti. Langkah yang diambil untuk menangani krisis kewangan ini tidak pernah berlaku di Malaysia dan jarang berlaku di negara luar. Jadi kita terpaksa memikirkan sendiri cara untuk menangani masalah tersebut.

Mungkinkah arwah Datuk Razif berpandangan Datuk adalah calon yang sesuai dan paling layak untuk membuat perubahan di Bank Islam?

ZUKRI: Mungkin juga begitu. Tetapi ingin saya tekankan di sini bahawa pencapaian Danaharta adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak. Penghargaan patut diberi kepada Tan Sri Azman Yahya yang merupakan Pengarah Urusan Danaharta yang pertama iaitu daripada tahun 1998 sehingga tahun 2000 dan juga Datuk Seri Hamidy Hafiz yang menjadi Pengarah Urusan selepas Tan Sri Azman sehingga tahun 2003. Saya mengambil alih pucuk pimpinan pada bulan Jun 2003 yang merupakan fasa terakhir iaitu ketika bon yang diterbitkan berjumlah RM26 bilion di mana RM3 bilion akan matang pada bulan September 2003. Saya selalu berjenaka dengan Tan Sri Azman dan Datuk Seri Hamidi - mereka berdua adalah pelari pertama dan kedua manakala saya pula pelari terakhir dan terpaksa menanggung risiko menebus semula bon-bon yang diterbitkan!
 
Back
Top
Log in Register