Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kes Bekas PTD Dan Isteri: 45 Dokumen Termasuk Rakaman Percakapan Diserahkan Kepada Pembelaan
Bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram hadir bagi prosiding sebutan kes di Mahkamah Sesyen hari ini.
Sebanyak 45 jenis dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan dalam kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan perkara berkenaan semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi hari ini.
"Hari ini ditetapkan untuk sebutan serahan dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Untuk makluman mahkamah, satu set dokumen mengandungi kira-kira 45 dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
"Dianggarkan tiga set dokumen akan diserahkan kepada pembelaan secara berperingkat dan pihak kami mohon tempoh masa sebulan hingga ke dua bulan untuk serahan seterusnya," kata Mahadi yang mengendalikan kes bersama TPR Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.
Peguam Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin yang mewakili pasangan suami isteri itu mengesahkan telah menerima dokumen tersebut.
Azura kemudian menetapkan 25 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Pada 22 Jan, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga bank di lokasi berbeza, iaitu di Jalan Melaka, Bukit Damansara serta pusat bandar raya antara 2 Feb 2024 hingga 7 Nov 2025 dengan pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Kes Bekas PTD Dan Isteri: 45 Dokumen Termasuk Rakaman Percakapan Diserahkan Kepada Pembelaan
mahkamah, PTD, pengubahan wang haram, Muhammad Ha