BTC USD 75,904.4 Gold USD 4,338.25
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kerjasama Pelbagai Pihak Buka Ruang Lebih Banyak IPT Laksana Menu Rahmah - Fuziah

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,137
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,137
Reaction score
346
Points
141

Kerjasama Pelbagai Pihak Buka Ruang Lebih Banyak IPT Laksana Menu Rahmah - Fuziah​

b3291b13471c1b7e00e06759fcec694f6a635ee95d0d0

dad10b15ef564309b11c7dc48fba10136a635f07f13e2

89cc3622928696f4fea0481d92d8773d6a635f29828ab

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh (kiri) bercakap pada Sesi Townhall Program Kepenggunaan Peringkat Negeri Sembilan hari ini.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA


Inisiatif Menu Rahmah boleh diperluas ke lebih banyak institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk universiti, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pengusaha makanan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kerjasama pihak universiti khususnya dalam penyediaan tapak perniagaan dan penetapan kadar sewa premis yang munasabah antara faktor penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Untuk memastikan Menu Rahmah itu wujud, yang pertama kita perlu kerjasama pihak universiti kerana mereka yang menyediakan tapak berniaga atau menurunkan kadar sewa, contohnya… ia perlu daripada pihak pengurusan tertinggi pihak universiti itu sendiri.

“Sebagai insentif sokongan, KPDN menawarkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kepada pengusaha makanan dan minuman Menu Rahmah untuk mendapatkan stok barangan keperluan pada harga yang lebih rendah terutamanya program Jualan Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Townhall Kepenggunaan "Pengguna: Bergunakah Kita?" di sini hari ini.

Kad Diskaun Khas Menu Rahmah merupakan inisiatif yang dilancarkan KPDN sejak 2023 bagi membolehkan pengusaha makanan dan minuman Menu Rahmah yang berdaftar dengan kementerian itu untuk mendapatkan stok barangan keperluan pada harga yang lebih rendah di pasar raya terpilih.

Selain itu, Fuziah berkata KPDN juga akan melaksanakan pemantauan secara berterusan di premis makanan dalam kampus dan tindakan akan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat peniaga yang mengambil keuntungan secara berlebihan.

Mengenai usaha memperkasakan mahasiswa dalam aspek kepenggunaan, Fuziah berkata KPDN sentiasa menganjurkan sesi libat urus bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak kepenggunaan, sekali gus mempertingkatkan peranan mereka sebagai ejen advokasi dalam kalangan rakan, keluarga dan masyarakat.

Kira-kira 150 pelajar daripada lima institusi pengajian tinggi awam dan swasta terlibat dalam seminar kali ini yang merupakan antara aktiviti kepenggunaan melalui platform Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di IPT.

 
Back
Top
Log in Register