combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kerjasama MARA, Schneider Lahir Tenaga Mahir Elektrikal - Asyraf Wajdi
Datuk Asyraf Wajdi Dusuki
Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik dengan Schneider Electric Malaysia dan tiga syarikat industri bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang elektrikal menerusi Program Perantisan MARA-SWITCHPRO.
Pengerusi MARA Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata program itu menawarkan latihan berasaskan industri serta prospek gaji hingga RM5,000 membabitkan kerjasama Schneider Electric Malaysia bersama-sama Simatek Industrial Training, Starlight Electrical Industries Sdn Bhd dan Advance Industrial Solutions Sdn Bhd selaku syarikat perintis.
Beliau berkata peserta akan mengikuti latihan intensif enam bulan sebelum menjalani latihan sambil bekerja juga selama enam bulan di syarikat terlibat.
“Kerjasama strategik ini membolehkan peserta memperoleh Sijil Kompetensi Schneider Electric yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa yang dapat meningkatkan nilai mereka di pasaran pekerjaan, menjalani penempatan industri dan menikmati peluang pekerjaan yang lebih tersusun selepas tamat latihan.
“Mereka yang berjaya menamatkan program berpotensi menerima gaji premium dengan permulaan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan termasuk elaun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu di sini hari ini.
Asyraf Wajdi berkata peserta pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) MARA yang memiliki sijil profesional atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat dan Lima mempunyai nilai lebih tinggi kepada industri selepas melalui latihan dan mendapat pensijilan profesional.
Berhubung pelaksanaan program itu, beliau berkata sebanyak 18 peserta Kohort 1 berjaya menamatkan latihan dan akan menjalani penempatan industri manakala 22 peserta Kohort 2 akan memulakan latihan pada Ogos. Program itu menyasarkan 200 peserta dalam tempoh tiga tahun.
Asyraf Wajdi berkata MARA kini mempunyai 270 institusi TVET di seluruh negara yang menawarkan lebih 400 program dalam pelbagai bidang yang membolehkan kurikulum disesuaikan mengikut keperluan semasa industri.
“Kurikulum kita sangat fleksibel dan sentiasa boleh diselaraskan mengikut kehendak industri. Jika industri memerlukan kemahiran tertentu, MARA mampu menambah baik dan mengemas kini program latihan supaya memenuhi keperluan itu,” katanya.