combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kerajaan Dijangka Jimat RM2 Bilion Setahun Menerusi BUDI MADANI Diesel - Amir Hamzah
Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter mulai Julai ini dijangka membawa penjimatan hingga RM2 bilion setahun menerusi pengurangan ketirisan subsidi bahan api di dalam negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi diesel di seluruh negara melalui satu sistem yang seragam, telus dan mudah digunakan.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang berhak, selain menjamin kestabilan bekalan diesel di dalam negara.
"Melalui penyasaran subsidi ini, kita mampu menjimatkan hingga RM2 bilion setahun. Penjimatan ini akan dipulangkan kepada rakyat melalui pengurangan harga diesel kepada RM2.10 seliter," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah berkata sebelum ini, tanggungan subsidi petrol dan diesel kerajaan adalah kira-kira RM800 juta sebulan, namun meningkat mendadak kepada hampir RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April susulan lonjakan harga minyak dunia.
Pada masa sama, beliau berkata penggunaan diesel turut meningkat luar biasa daripada kira-kira 624 juta liter sebulan kepada hampir 1.2 bilion liter sebulan, sekali gus menunjukkan wujud ketirisan yang serius.
Amir Hamzah berkata ketirisan itu antaranya berlaku melalui penyeludupan rentas sempadan dan penyalahgunaan saluran subsidi, apabila pihak yang sepatutnya membeli diesel tidak bersubsidi mendapatkan bekalan diesel bersubsidi di stesen minyak.
Beliau berkata situasi itu bukan sahaja memberikan tekanan kepada fiskal kerajaan, malah boleh mengganggu dan mengancam bekalan diesel di dalam negara.