Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,777
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,777
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Keputusan Mahkamah Tinggi Berhubung Tuntutan Tambahan Lad Pembeli Rumah Diketepi
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan empat pembeli rumah menuntut tambahan ganti rugi jumlah ditentukan (LAD) susulan kelewatan penyerahan milikan kosong unit masing-masing.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizul Azmi Adnan, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Nadzarin Wok Nordin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Ekovest Capital Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Prompt Capital Sdn Bhd, selaku pemaju pembangunan bercampur EkoCheras di Kuala Lumpur.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Ong berkata surat penyelesaian yang ditandatangani pembeli ialah “satu persetujuan dan penyelesaian muktamad” serta membawa kepada pelepasan sepenuhnya terhadap liabiliti Ekovest berkaitan LAD bagi unit kediaman dan kemudahan bersama.
Beliau berkata tuntutan berikutnya bagi tambahan LAD termasuk yang dibuat berdasarkan pengiraan pampasan daripada yuran tempahan dan bukannya Perjanjian Jual Beli (SPA), atau pelanjutan tempoh penyiapan sehingga pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) penuh telah diliputi oleh penyelesaian yang dicapai antara pihak-pihak terlibat.
Ong berkata perlindungan pembeli di bawah Akta Pemajuan Perumahan (HDA) tidak ditentukan oleh surat penyelesaian itu, yang hanya bertujuan untuk mencapai kompromi terhadap hak-hak terakru di bawah HDA, yang menyaksikan pembeli bebas untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Mahkamah memerintahkan keempat-empat pembeli rumah membayar kos berjumlah RM60,000.
Mereka ialah Tan Tiong Hwa, Lim Swee Pei, Chong Sew May dan Chong Chee Sien, yang menuntut LAD susulan kelewatan Ekovest menyerahkan milikan kosong unit masing-masing serta kemudahan bersama.
Sebelum ini, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada keempat-empat pembeli kerana berpandangan mereka berhak menuntut tambahan LAD.
Kesemua pembeli rumah mendakwa antara terma dalam SPA ialah peruntukan yang menyatakan bahawa milikan kosong akan diserahkan setelah tamat tempoh 48 bulan memandangkan Ekovest telah memperoleh lanjutan masa pada 18 Okt 2013 sebelum pihak-pihak terbabit menandatangani SPA masing-masing.