combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
KEMAS Perkasa Komuniti Luar Bandar, Lahir Lebih 4,800 Usahawan
Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Zawawi Othman (berdiri, lima kanan) bergambar bersama peserta pertandingan dandanan pada Majlis Perasmian Penutupan Hari Kemahiran Peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kelantan 2026 hari ini.
Lebih 4,800 usahawan telah dibangunkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerusi program Quick Win sejak 2017, membuktikan latihan kemahiran mampu membuka peluang ekonomi kepada komuniti luar bandar.
Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS Putrajaya Dr Faridah Mat berkata program itu bukan sekadar memberi latihan dan sijil, sebaliknya membimbing peserta mengembangkan kemahiran yang diperoleh sebagai sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga.
Beliau berkata KEMAS menyediakan latihan percuma dalam lima bidang utama, iaitu jahitan, dandanan diri, masakan, komputer dan seni tangan, khususnya kepada komuniti luar bandar serta golongan berpendapatan rendah, dengan laluan sehingga Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga.
“Matlamat utama kami bukan sekadar melatih dan memberi sijil tetapi memastikan peserta mampu menjana pendapatan. Kami bimbing mereka daripada peringkat latihan sehingga aspek pembungkusan, pelabelan, pemasaran dan pengurusan keusahawanan,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Hari Kemahiran Peringkat KEMAS Kelantan 2026 yang dirasmikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Zawawi Othman di sini hari ini.
Faridah berkata sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari 2021 hingga 2025, kira-kira 164,000 peserta telah dilatih dalam pelbagai bidang di seluruh negara manakala peserta Quick Win turut menerima latihan tambahan, bimbingan dan bantuan peralatan bagi membolehkan mereka memulakan aktiviti menjana pendapatan.
Sementara itu, Pengarah KEMAS Kelantan Wan Norlee Wan Ismail berkata 173 usahawan bimbingan KEMAS kini aktif dalam pelbagai bidang di negeri itu dengan menerima sokongan termasuk kit peralatan, pelabelan, latihan dan khidmat nasihat pemasaran, termasuk menerusi Projek Roti Kampung di Pusat Masakan Kuala Balah, Jeli yang melibatkan 15 peserta membekalkan roti kepada tujuh kelas Tabika KEMAS.
Beliau berkata program SEKOCHI yang melibatkan 34 usahawan jahitan bimbingan KEMAS bersama Koperasi KEMAS Kelantan berjaya menyiapkan hampir 15,000 uniform Tabika KEMAS tahun ini manakala dua wakil Kelantan turut meraih pingat perak pada Kejohanan Cef Dunia di Johor Bahru, sekali gus membuktikan kemahiran di peringkat komuniti mampu membuka laluan ke pasaran dan pentas lebih tinggi.