combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,151
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,151
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kegiatan Pembuatan Arak Tiruan Di Putrajaya Tumpas
Kredit: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar kegiatan pembuatan dan pengedaran arak yang disyaki tiruan menerusi satu operasi khas di sebuah premis di Presint 9 di sini, Isnin lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi hasil risikan dan perkongsian maklumat antara KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan tujuh pegawai penguat kuasa KPDN bersama seorang pegawai kanan dan 13 anggota PDRM.
"Hasil pemeriksaan menemukan 1,262 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai siap untuk diedarkan, ribuan botol kosong dan bancuhan disyaki arak, pati alkohol, pati karamel serta pati perisa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut disita dua mesin penutup botol, sebuah pam, pelbagai label, penutup botol dan bahan pembungkusan serta satu gulung pelekat yang menyerupai pelekat cukai kastam.
Sebuah kenderaan dan beberapa unit telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut turut disita, menjadikan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM206,630.
Azman berkata seorang lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam ditahan bagi membantu siasatan.
"Penemuan minuman keras siap dibotolkan bersama bahan mentah, peralatan pembotolan, botol kosong, label dan bahan pembungkusan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan menghasilkan dan membungkus minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rantaian pengedaran dan pihak lain yang terlibat," katanya dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).
Beliau berkata KPDN memandang serius kegiatan yang melibatkan penghasilan dan pengedaran barangan tiruan yang boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan kepentingan pemilik cap dagangan yang sah.