combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kastam Gagalkan Cubaan Seludup Minuman Keras Bernilai RM4.15 Juta Di Pelabuhan Sepanggar
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menggagalkan cubaan menyeludup 190,080 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM4.15 juta termasuk cukai menerusi dua serbuan melibatkan sembilan kes berasingan di Pelabuhan Sepanggar, dekat sini, bulan ini.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Amran Ahmad berkata kesemua kes itu dikesan hasil pemeriksaan dijalankan anggota penguat kuasa pada 10 dan 13 Ogos lepas di Pusat Pemeriksaan Kastam (CEA) pelabuhan berkenaan.
“Enam kes pertama dikesan pada 10 Ogos selepas anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap enam kontena dan menemukan 118,800 liter minuman keras pelbagai jenama dianggar bernilai RM2.67 juta termasuk cukai.
“Kesemua kontena itu telah disita bagi membolehkan pemeriksaan terperinci dalam menentukan status, pemilikan, dokumen sokongan serta pematuhan terhadap keperluan kastam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata tiga lagi kes dikesan pada 13 Ogos selepas anggota penguat kuasa menemukan 71,280 liter minuman keras jenis beer selepas pemeriksaan dalam kontena yang dianggar bernilai RM1.49 juta termasuk cukai.
Mengenai modus operandi, Amran berkata enam kes melibatkan penggunaan kontena sebagai medium penyeludupan barangan minuman keras melalui perdagangan maritim di Pelabuhan Sepanggar dengan membuat pengikraran palsu seperti perabot, paip PVC dan set jana kuasa.
“Selain itu, pengikraran atau dokumentasi yang disyaki tidak tepat. Barangan yang terkandung dalam kontena tersebut tidak diikrarkan dengan sewajarnya atau tidak mematuhi keperluan kastam bagi mengelakkan pengesanan dan pembayaran duti cukai yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata modus operandi bagi tiga kes lagi melibatkan penyalahgunaan saluran perdagangan sah dan dipercayai mengeksploitasi saluran import serta kemudahan logistik pelabuhan bagi membawa masuk barangan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan kastam ke dalam negara.
Kesemua sembilan kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dan Seksyen 135(1)(a) akta sama kerana mengimport atau mengeksport apa-apa barangan tidak berkastam atau barang larangan.