hiduprakyat
CG Top Poster Club

- Messages
- 27,485
- Joined
- Dec 6, 2010
- Messages
- 27,485
- Reaction score
- 1,681
- Points
- 201
Kanak-kanak dua tahun parah diserang lima anjing liar
BATU PAHAT: Seorang nenek berdepan detik cemas apabila melihat cucunya, berusia dua tahun, terbaring dengan kepala dan muka berlumuran darah selepas dipercayai diserang lima ekor anjing liar.
Menurut Darlinda Darlis, cucunya Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, parah dipercayai digigit anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, di sini, pagi semalam.
Kejadian dipercayai berlaku pada 7 pagi selepas kanak-kanak itu dihantar ibu bapanya ke rumahnya.
Menurut Darlina, 57, ia kali pertama Nur Haira tinggal bersamanya memandangkan cucunya itu lebih banyak bersama datuk sebelah bapanya yang tinggal tidak jauh dari situ.
“Ibu bapa Nur Haira mahu ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia mahu ikut sekali.
“Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu, manakala saya bersiap untuk mandi.
“Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigitnya.
“Anak saya terdengar jeritan itu lalu keluar menyelamatkan Nur Haira. Keadaan cucu cedera di kepala dan muka,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
“Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap apa-apa. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.
“Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memandang kecederaan dialaminya,” katanya.
Sementara itu, Darlinda berkata, anjing liar yang menyerang Nur Haira adalah haiwan ditinggalkan pemburu ketika memburu babi di kebun sawit berhampiran rumahnya.
“Mereka (pemburu) menggunakan anjing ini, bila selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini.
“Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini kerana ia semakin membiak,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan kejadian itu dan setakat ini siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Sumber : Buletin TV3