balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Keadaan banjir kilat di sekitar pekan Kajang selepas hujan lebat, petang semalam.
< 1 / 2 >
KAJANG – Pekan Kajang dilanda banjir kilat sekali lagi petang semalam, selepas bencana sama berlaku sebulan lalu.
Kejadian menyebabkan beberapa buah kenderaan tenggelam namun air tidak memasuki premis komersil di sekitar kawasan tersebut.
Penolong Pengarah Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, banjir berlaku apabila hujan lebat lebih sejam menyebabkan air naik mendadak.
Air naik hingga paras 0.5 meter dan surut setengah jam kemudian, namun permukaan jalan dipenuhi lumpur.
“Pekerja melakukan kerja-kerja pembersihan bermula malam ini (semalam),” katanya.
Pada 30 September lalu Sinar Harian pernah melaporkan kejadian banjir kilat berlaku di pekan Kajang menyebabkan ratusan premis kedai dan puluhan kenderaan tenggelam.
Penduduk sebelum ini mendakwa banjir berkemungkinan berlaku kerana sampah tersumbat di sistem perparitan berhampiran kawasan pasar dan pekan Kajang selain sungai dipenuhi pasir dari tapak pembinaan.
Mereka mendesak pihak majlis dan agensi berkaitan mengambil tindakan pencegahan supaya ia tidak berulang.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Hulu Langat berkata, tembok penebatan banjir setinggi satu meter akan dibina sepanjang 30 meter di kawasan sering berlaku banjir kilat.
Katanya, ia akan dibina bersebelahan Sungai Jelok yang mengalirkan air ke Sungai Langat bagi memastikan tiada limpahan berlaku ketika hujan lebat.
Ketika ini, laluan sungai tersebut tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak selain kedudukan Sungai Langat lebih tinggi.
“Projek pembinaan tembok akan dimulakan bulan depan, ia tak dapat selesaikan masalah banjir secara keseluruhan tapi mungkin boleh mengurangkannya,” katanya.
Menurutnya, JPS bercadang dan dalam kajian menaik taraf kolam tadahan di Penjara Kajang bagi mengurangkan jumlah air yang mengalir dari tempat tinggi ke kawasan terjejas.