kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,808
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,808
- Reaction score
- 98
- Points
- 80
Juruukur Sambilan Didakwa Tinggal, Sebabkan Kematian 41 Ekor Kucing
Juruukur sambilan Lee Reo Jin, 49, (dua, kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meninggalkan 36 ekor kucing hidup hingga mengalami kebuluran dan menyebabkan kematian 41 ekor kucing pada Mac lepas.
Seorang juruukur sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan 36 ekor kucing hingga mengalami kebuluran dan menyebabkan kematian 41 ekor kucing pada Mac lepas.
Lee Reo Jin, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor.
Wanita itu didakwa meninggalkan 36 ekor kucing hidup dalam keadaan yang boleh menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan atas sebab kebuluran di sebuah unit pangsapuri di Subang Jaya di sini, Mac lepas.
Pertuduhan mengikut Subseksyen 29(1)(p) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Lee didakwa sebagai pemilik kucing yang menyebabkan kematian 41 ekor haiwan itu pada tempat dan tarikh sama serta dituduh mengikut Subseksyen 29(1)(r) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan boleh dihukum di bawah subseksyen 29(1) yang membawa hukuman serupa.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport OKS perlu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Lee yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan OKS diikat jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Noor Ruzilawati kemudian menetapkan 7 Ogos untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.