BTC USD 75,561.0 Gold USD 4,359.74
Time now: Jun 1, 12:00 AM

JPN Luluskan 286 Permohonan MyKAS Masyarakat India Sejak 2022 Hingga Mei 2026

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,763
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,763
Reaction score
289
Points
146

JPN Luluskan 286 Permohonan MyKAS Masyarakat India Sejak 2022 Hingga Mei 2026​

a7a4d5ead18eeb81e122fe9ed6657b356a420275aea3e

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

Sebanyak 286 permohonan MyKAS atau 96 peratus daripada keseluruhan 298 permohonan dalam kalangan masyarakat India bagi tempoh 2022 hingga 31 Mei 2026 telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata bagi permohonan daftar lewat kelahiran melibatkan komuniti itu pula, sebanyak 2,810 permohonan (90.1 peratus) telah diluluskan daripada 3,117 permohonan yang diterima, manakala 251 permohonan lagi masih dalam proses.

"Bagi permohonan kewarganegaraan, sebanyak 1,018 permohonan telah direkod daripada masyarakat India. Daripada jumlah tersebut, 503 permohonan atau 49.4 peratus masih lagi dalam proses, manakala 141 permohonan atau 13.9 peratus telah diluluskan," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Dr V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung status dokumentasi dan pemilikan kad pengenalan dalam kalangan masyarakat India di Malaysia.

Mengulas mengenai kelulusan kewarganegaraan, Shamsul Anuar berkata statistik lulus merujuk kepada permohonan yang telah mendapat keputusan serta sijil kewarganegaraan yang dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.

"Walaupun suatu permohonan telah diluluskan di peringkat KDN (Kementerian Dalam Negeri), ia masih akan terekod sebagai dalam proses dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dimohon, dicetak, atau diserahkan kepada pemohon," katanya.

Bagi menangani masalah dokumentasi di kawasan pedalaman, Shamsul Anuar berkata JPN mengambil langkah proaktif melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) dengan menghantar pegawai ke lapangan bagi memastikan rakyat yang menghadapi kekangan akses tidak ketinggalan daripada mendapat dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata KDN tidak melantik mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai orang tengah dalam urusan permohonan di JPN kerana semua proses tertakluk di bawah peruntukan undang-undang.

Menjawab soalan tambahan Sivakumar mengenai punca utama pendaftaran lewat kelahiran, beliau berkata JPN mengenal pasti beberapa faktor, antaranya sikap kurang kesedaran ibu bapa untuk mendaftar kelahiran anak dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu 60 hari bagi Semenanjung dan 42 hari bagi Sabah dan Sarawak.

Faktor lain yang menyumbang kepada kelewatan tersebut adalah masalah kekeluargaan seperti perpisahan atau perceraian, kekangan kewangan untuk hadir ke pejabat pendaftaran, serta dokumen sokongan yang tidak lengkap.

 
Back
Top
Log in Register