combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
JPM Sokong Titah Sultan Pahang, Seru Adakan Solat Hajat Hadapi Jerebu
Pemandangan di sekitar Putrajaya kabur berikutan jarak penglihatan terjejas akibat jerebu yang melanda hari ini.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Putrajaya berada pada 155 setakat 1 petang tadi, iaitu pada tahap tidak sihat.
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyokong penuh titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya solat hajat diadakan bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata seluruh masjid di Wilayah Persekutuan dan umat Islam di seluruh negara diseru menyatukan saf bagi memohon pertolongan kepada Allah SWT.
“Adalah menjadi kewajipan agama bagi kita untuk menzahirkan solidariti melalui pelaksanaan solat hajat dan doa secara berterusan.
“Gabungan ikhtiar fizikal serta keutuhan doa adalah senjata utama orang beriman kerana sesungguhnya tiada satu pun ujian yang diangkat melainkan dengan keizinan, rahmat dan kasih sayang Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau pada masa sama menggesa seluruh umat Islam mengambil iktibar atas ujian itu dengan memelihara alam sekitar yang juga amanah Allah, di samping sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan jiwa.
“Marilah kita memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan, mudah-mudahan Allah mengangkat ujian jerebu ini dan mengurniakan kesejahteraan serta udara yang bersih kembali kepada saudara-saudara kita di Sarawak,” katanya.
Pada Sabtu lepas, Sultan Pahang menitahkan solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri Pahang dan bertitah doa serta ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.