Tak Ada Hak Cipta Bagi Nombor Plat, Kata Loke
07.11.2024 - “Kalau dia nak saman, cubalah nasib. Tetapi, kita akan beri maklum balas menerusi Pejabat Peguam Negara,” katanya pada sidang media.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook tidak gentar dengan ancaman saman seorang pengarah syarikat yang mendakwa kerajaan melanggar hak cipta apabila menerbitkan nombor plat siri “MADANI”. Beliau mengulas tindakan Hasan Azhari Hasan, pengarah syarikat Ilham Madani Sdn Bhd, yang menyatakan hasrat menyaman kerajaan sebanyak RM1.3 juta atas dakwaan melanggar hak cipta terpelihara melibatkan penggunaan “MADANI” bagi awalan nombor plat. Loke berkata, kuasa mendaftarkan nombor plat adalah di bawah Akta Pengangkutan Jalan, yang diuruskan Kementerian Pengangkutan.
“Jadi, apa-apa kelulusan berkenaan nombor pendaftaran istimewa mestilah melalui menteri pengangkutan. Tak ada soal bahawa mana-mana pihak boleh hak cipta intelek terhadap apa-apa nombor pendaftaran istimewa itu. Mereka tidak mempunyai hak cipta intelek ke atas nombor plat” katanya.
Kementerian juga melakukan pemeriksaan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang mengesahkan hak cipta itu ialah kertas kerja sahaja. Dalam surat tuntutan kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hasan mendakwa beliau pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 untuk Didaftarkan di Malaysia’ yang didaftarkan secara sah dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta. Surat serahan tangan itu dikemukakan pada Isnin oleh Tetuan Raj & Sach, menuntut kerajaan membayar pampasan dalam tempoh tujuh hari selepas penerimaan.
Kandungan tuntutan antara lain menyatakan, Hasan menghantar cadangan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Februari tahun lalu, memohon kerjasama menjual nombor plat istimewa bermula MADANI 1 hingga 1999, berdasarkan hak cipta. Bagaimanapun, ia berkata, JPJ menulis semula pada April tahun sama menyatakan pihaknya tidak mengeluarkan nombor plat bagi siri MADANI. Agensi itu juga menasihatkan orang awam tidak mempercayai “berita palsu” berkait perkara itu. Hasan berkata, beliau menghantar cadangan susulan kepada perdana menteri pada Ogos dan Oktober 2023, yang kemudian dirujuk kepada Kementerian Pengangkutan.
Berita asal
https://www.freemalaysiatoday.com/c...tak-ada-hak-cipta-bagi-nombor-plat-kata-loke/