combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,141
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,141
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
JKPTG Dekati Masyarakat Melalui Klinik Konsultasi Pentadbiran Tanah
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim (dua, kanan) gimik perasmian Klinik Konsultasi Pentadbiran Tanah (Open Day) Sempena Hari Tanah Negara Ke-10 Tahun 2026 di KL Sentral hari ini.
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) hari ini menganjurkan Klinik Konsultasi Pentadbiran Tanah sempena Hari Tanah Negara ke-10 di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) di sini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan urusan berkaitan tanah.
Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata penganjuran julung kali program itu mencerminkan komitmen JKPTG untuk mendekati masyarakat secara lebih proaktif, selain meningkatkan literasi pengurusan tanah dalam kalangan rakyat.
“Melalui Klinik Konsultasi Pentadbiran Tanah ini, orang ramai boleh mendapatkan penjelasan secara terus daripada pegawai dan pakar mengenai pelbagai isu berkaitan tanah secara percuma sekali gus membantu mereka memahami hak serta prosedur yang berkaitan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program itu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Penyelarasan Operasi) Mohd ‘Ashraf Mohd Noor, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kemajuan Pengurusan dan Perundangan) Muhammad Rosli Muhammad Ja'afar serta barisan pengurusan tertinggi JKPTG.
Program itu, yang berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang, menawarkan konsultasi percuma merangkumi pembangunan strata, perundangan tanah, pengurusan pusaka kecil, pengambilan tanah, pengurusan tanah Persekutuan, sistem e-Tanah dan aplikasi MyLAND.
Selain reruai JKPTG, program itu disertai beberapa agensi dan rakan strategik termasuk Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA), GreenRE dan Institut REHDA yang menyediakan khidmat nasihat berkaitan hartanah serta tanah.
Mohd Fauzi berkata JKPTG menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung pada program itu, berdasarkan lokasi strategik KL Sentral yang menjadi pusat tumpuan orang ramai dengan aliran antara 200,000 hingga 250,000 pengguna pengangkutan awam setiap hari.
Beliau berkata sambutan Hari Tanah Negara tahun ini bertemakan “Tanah Kita, Tanggungjawab Kita” turut diisi pelbagai program termasuk pertandingan penulisan artikel berkaitan perundangan tanah dan Seminar Perundangan Tanah yang menghimpunkan pentadbir tanah, ahli akademik serta pakar bagi membincangkan cadangan memperkukuh sistem pentadbiran tanah negara.
Seminar itu, katanya menghasilkan pelbagai resolusi yang boleh dijadikan panduan dalam usaha mempermudah urusan pentadbiran tanah sekali gus menyokong pembangunan ekonomi negara.