kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,696
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,696
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
JKKP Pulau Pinang Siasat Pekerja Bangladesh Maut Terjatuh Di Tapak Pembinaan
Kredit: JKKP
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan berhubung kemalangan maut melibatkan seorang pekerja warga Bangladesh yang dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak pembinaan di Bayan Mutiara, dekat sini.
Pengarah JKKP Pulau Pinang Hairozie Asri berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 12.15 tengah hari semalam daripada orang awam sebelum sepasukan pegawai penyiasat digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan serta-merta.
"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja sebuah syarikat subkontraktor yang menjalankan kerja-kerja mengecat, melepa (plaster) dan penyelenggaran di tapak pembinaan berkenaan. Mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja di tingkat 34 sebelum ditemui dalam keadaan cedera parah di atas lantai canopy roof di tingkat 9.
"Lelaki itu dipercayai terjatuh dari tingkat 34 dan pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang kemudiannya mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata susulan kejadian itu, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan kepada syarikat subkontraktor bagi menghentikan kerja-kerja mengecat, melepa dan penyelenggaraan di kawasan tepian terbuka, selain mengeluarkan notis larangan kepada kontraktor utama.
Hairozie berkata JKKP Pulau Pinang akan meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan.