combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Jerebu: Darurat Di Serian Demi Keselamatan Penduduk - Uggah
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Keputusan Kerajaan Negeri Sarawak memohon pengisytiharan darurat di Serian adalah langkah keselamatan bagi melindungi penduduk yang terjejas akibat keadaan jerebu pada tahap berbahaya, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata pengisytiharan itu perlu dibuat berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara di kawasan berkenaan yang mencecah 500.
“Darurat ini bukan seperti Perintah Kawalan Pergerakan sewaktu pandemik COVID-19 dahulu. Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan darurat akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengikut arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara, termasuk perincian mengenai aktiviti, premis dan perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi.
“Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berada di rumah, mengurangkan aktiviti luar serta mematuhi segala arahan dan SOP yang dikeluarkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai yang perlu keluar rumah agar memakai pelitup muka yang sesuai, khususnya jenis N95 atau setara bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Penduduk Serian juga diminta agar tidak panik dan mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi pihak berkuasa sepanjang tempoh darurat.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Bahagian Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan itu.