Nyaris buta main mercun bola
MOHD Nur Amzar menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, semalam selepas hampir separuh mukanya melecur terkena letupan mercun.
ALOR STAR: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Alor Merah di sini, Mohd Nur Amzar Nordin, nyaris buta selepas terkena letupan mercun bola di rumahnya di Alor Merah di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikatakan meleraikan mercun itu sebelum menyalakannya menyebabkan api menyambar mukanya.
Letupan itu mengakibatkan mata Mohd Nur Amzar bengkak dan kabur, manakala hampir separuh mukanya melecur.
Mohd Nur Amzar yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), berkata: "Pada mulanya saya sangka mercun itu tidak menyala, tetapi tiba-tiba ia meletup terkena muka hingga menyebabkan penglihatan saya kabur."
Sementara itu, bapanya, Nordin Hamid, 48, berkata beliau beberapa kali melarang anak bongsunya itu bermain mercun, tetapi tidak diendahkan.
"Saya tidak tahu di mana dan bila dia beli mercun itu. Kalau saya tahu sudah tentu saya tidak akan benarkannya bermain mercun," katanya.