ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Maznah
LINGGI - Tinggal bersendirian dan menjalani kehidupan dengan menumpang kasih bersama jiran, itu yang terpaksa dilalui seorang warga emas, Maznah Abd Latif, 60.
Maznah ketika ditemui, tidak janggal untuk menceritakan kisah hidupnya ketika muda, dan sehinggalah kini dia tinggal seorang diri.
Bagaimanapun, apa yang dikisahkan mengenai dirinya itu, sekadar cerita semata-mata kerana Maznah boleh dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) yang mengalami fasa kemerosotan memori lama.
Namun begitu, kisahnya yang terpaksa mencari batu dan menyusunnya dalam rumah untuk menutup lubang serta dijadikan senjata jika ada ular atau serangga berbisa sangat berasas.
Ini kerana dia mendiami rumah yang dikelilingi belukar dan pokok-pokok besar, perkara itu mendapat perhatian daripada Pejabat Daerah dan Tanah melalui Program Jalinan Kasih yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Penghulu Mukin Linggi, Ibrahim Abd Talib berkata, Maznah antara penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masalah yang dihadapinya memang sudah lama mendapat perhatian.
Menurutnya, melalui program Jalinan Kasih, satu aktiviti gotong-royong perdana diadakan bersama pelbagai agensi kerajaan membersih serta menceriakan kawasan luar dan dalam rumah Maznah.
"Antara yang dilakukan adalah menebas kawasan semak dan belukar di sekeliling rumah, membaiki sistem pendawaian, menambah baik sistem perpaipan, mengecat dan membasuh rumah," katanya.
Ibrahim berkata, Maznah tinggal bersendirian setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia dan dia tidak pernah berkahwin, kehidupannya kini bergantung dengan bantuan JKM sebanyak RM140 sebulan.
"Jiran-jiran Maznah juga banyak membantunya, ada yang memberi makanan, keperluan asas dan sebagainya.
"Maznah walaupun sudah kehilangan banyak memorinya, namun dia masih boleh berdikari, duduk di rumah dan tidak merayau atau mengacau orang," katanya.
Ibrahim berkata, melalui aktiviti ini diharap sedikit sebanyak akan memberi keceriaan kepada Maznah dan keselesaan dengan keadaan rumah dan kawasan sekeliling yang sudah dibersihkan.
Dalam pada itu, Adun Linggi, Abd Rahman Mohd Redza berkata, program Jalinan Kasih adalah pendekatan mendampingi hampir 4,600 penerima bantuan JKM di daerah Port Dickson.
"Untuk kita ziarah dan lawat semua penerima bantuan memang agak mustahil, tetapi dengan meneliti penerima yang benar-benar daif dan perlu diberi bantuan tambahan, maka program Jalinan Kasih adalah platformnya," katanya.
Antara agensi kerajaan dan NGO terlibat dalam gotong-royong itu ialah Jabatan Kerja Raya (JKR), Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Linggi, Puteri Umno, SWM serta Majlis Perbandaran Port Dickson.