kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Jabatan Perikanan Lancar eSPeKS, AquaTrack Bantu Urusan Penternak Akuakultur
Kredit : FB DOF Malaysia
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melancarkan dua aplikasi digital percuma, Elektronik Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan Akuakultur (eSPeKS) dan AquaTrack bagi memudahkan penternak akuakultur.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata kedua-dua aplikasi ini saling melengkapi dengan eSPeKS memudahkan urusan permohonan bantuan dalam talian manakala AquaTrack membantu penternak mengurus dan merekod operasi ladang secara digital.
"eSPeKS mendigitalkan keseluruhan proses permohonan, penilaian dan kelulusan bantuan serta semua maklumat disimpan dalam pangkalan data berpusat bagi memudahkan pemantauan serta urusan permohonan dengan jabatan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.
Adnan berkata AquaTrack berfungsi sebagai buku log digital untuk memantau prestasi ternakan, merangkumi rekod kemasukan benih, penggunaan makanan dan hasil tuaian.
"Ia turut dilengkapi fungsi pengiraan Kadar Penukaran Makanan (FCR) secara automatik, anggaran kos pengeluaran dan titik pulang modal bagi membantu perancangan operasi.
“Platform ini juga menyediakan panduan ternakan, maklumat penyakit ikan dan udang serta kebolehan menjana laporan perusahaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Adnan berkata Malaysia dan Thailand selesai melaksanakan pemeriksaan maya melibatkan sektor penternakan siakap dan udang sebagai sebahagian daripada proses penilaian aktiviti pengeksportan antara kedua-dua negara.
Pemeriksaan pada minggu pertama Ogos itu dijalankan selepas kedua-dua pihak menyemak borang soal selidik berkaitan status dan kaedah penternakan.
“Proses tersebut melibatkan beberapa ladang ternakan dan pusat penetasan benih bagi menilai kawalan penyakit serta aspek kesihatan manusia, termasuk penggunaan bahan kimia dilarang di bawah Akta Makanan 1983.