Syor tambah nilai rebat tunai kenderaan
KUALA LUMPUR 16 Julai – Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini meminta kerajaan meningkatkan jumlah rebat tunai yang dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian bagi meringankan beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ir. Hamim Samuri (BN-Ledang), Datuk Baharum Mohamad (BN-Sekijang), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud).
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2008 pada sidang Dewan Rakyat, Hamim menegaskan, peningkatan rebat tunai itu akan dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang kebanyakannya menggunakan motosikal dan kereta Proton.
Bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan ekoran kenaikan harga minyak, mulai 14 Jun lalu kerajaan telah membayar rebat RM625 kepada pemilik kenderaan di bawah 2,000cc manakala pemilik motosikal berkapasiti enjin sehingga 250cc pula menerima bayaran tunai sebanyak RM150.
Bayaran itu dibayar kepada pemilik kenderaan yang telah memperbaharui cukai jalan kenderaan masing-masing.
Menurut Hamim, polisi rebat tunai yang diperkenalkan oleh kerajaan amat baik tetapi jumlahnya tidak sesuai kerana penduduk berpendapatan rendah tidak mendapat bantuan sepenuhnya bagi menghadapi beban kenaikan harga petrol dan diesel.
“Seelok-eloknya rebat tunai bagi pemilik motosikal dinaikkan paling kurang RM1,000 kerana mereka merupakan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Hamim percaya bantuan rebat tunai yang lebih tinggi kepada pemilik-pemilik kenderaan terutama motosikal akan memberi insentif kepada mereka untuk memperbaharui cukai jalan yang selama ini tidak diendahkan.
Baharum pula ketika mencelah memberitahu, rebat tunai perlu ditingkatkan kepada pemilik motosikal kerana mereka adalah golongan berpendapatan rendah manakala pemilik kereta merupakan golongan berpendapatan lebih tinggi.
Bung Moktar pula ketika mencelah perbahasan Hamim mahukan kerajaan memasukkan pembayaran rebat tunai ke dalam Bajet 2009 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Ogos ini.
“Kerajaan ada kemampuan dan sebaik-baiknya masukkan perkara ini dalam Bajet 2009. Marilah kita realisasikan perkara ini dan marilah kita bantu rakyat berpendapatan rendah yang memang mengharapkan bantuan daripada kerajaan BN,” kata beliau.
Sementara itu, Abdul Rahman meminta subsidi pengangkutan awam turut diberi kepada pemilik-pemilik kenderaan persendirian yang menggunakannya sebagai teksi sapu tidak berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Jelasnya, teksi sapu merupakan pengangkutan awam utama di Sabah dan Sarawak yang ketinggalan dari segi kemudahan pengangkutan awam.
“Saya harap pemandu teksi-teksi sapu ini diberi kelonggaran agar mereka dapat subsidi minyak bagi kepentingan penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagaimanapun, Jamaluddin ketika menyentuh isu yang sama meminta rebat tunai tidak diberikan kepada rakyat yang memiliki sehingga empat atau lima buah kenderaan.
Jelasnya, rakyat yang memiliki kenderaan yang banyak semestinya mempunyai pendapatan yang tinggi.
“Kalau mereka mempunyai empat kenderaan, dua daripadanya jenis BMW serta dua buah Proton, mereka ini dikira mempunyai pendapatan tinggi dan tidak sepatutnya menerima rebat walaupun untuk dua buah kereta Proton itu,” katanya.
:-? :-? :-?