nik1412
Active+ Member
- Messages
- 2,702
- Joined
- Dec 31, 2007
- Messages
- 2,702
- Reaction score
- 21
- Points
- 25
IPOH - Hasrat sebuah keluarga untuk menyambut sambutan Maulidur Rasul di Jakarta, Indonesia, tidak kesampaian selepas dua daripada ahli keluarga itu terlibat dalam kemalangan di Kilometer 273.2, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumah tangga, Mohd Shahir Sapiai, 37, dan isterinya, Kamarusolahiah Kamaruddin, 29, dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kamarusolahiah yang dipercayai mengandung enam minggu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan serius di kepalanya manakala, Mohd Shahir kini dirawat di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kereta Proton Perdana V6 dinaiki pasangan itu terbabas ke pembahagi jalan.
“Hentaman itu menyebabkan bahagian hadapan kenderaan terbabit remuk dan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk masing-masing.
“Anggota Bomba dan Penyelamat Ipoh dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa dan mangsa wanita didapati sudah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala, suaminya di bawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan kecemasan akibat kecederaan teruk di bahagian atas badan,” katanya semalam.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis jawab panggilan ibu
Ibu Mohd Shahir, Sariah Yaacob, 60, berkata, dia tergamam apabila panggilan telefon kepada anak lelakinya itu untuk bertanya khabar dijawab oleh anggota polis di tempat kejadian.
Menurutnya, dia terkejut apabila diberitahu anak dan menantunya terlibat dalam kemalangan kerana beberapa jam sebelum itu mereka baru sahaja bersalaman buat kali terakhir sebelum pasangan itu bertolak dari kediaman keluarga di Kuala Ketil, Kedah kira-kira jam 3.30 pagi.
“Saya dan lima ahli keluarga lain dijadualkan menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau Pinang jam 8 pagi manakala, Kamarusolahiah dan Mohd Shahir bersama tujuh ahli keluarga lain menaiki kapal terbang di KLIA. Saya akan bertemu mereka di sana sebelum ke Jakarta.
“Sebelum menaiki kapal terbang itulah, saya menghubungi anak saya untuk bertanya khabar dan bertanyakan mengenai perjalanan mereka, tidak sangka kami menerima khabar buruk,” katanya yang turut membatalkan perjalanan tersebut.
Sariah berkata, anak dan menantunya itu sangat teruja untuk menyertai perancangan mereka sekeluarga untuk menyambut Maulidur Rasul buat pertama kali di Jakarta.
“Kami tidak tahu bagaimana keadaan Mohd Shahir kerana dia masih menerima rawatan di bilik kecemasan. Saya hanya mampu berdoa agar dia selamat,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik di sini, semalam.
Sementara itu, sepupu Kamarusolahiah, Nurhidarwati Mohammad, 37, berkata, dia diamanahkan untuk menguruskan jenazah yang dijangka akan dikebumikan di Kuala Terengganu.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu sebelum mereka melangsungkan perkahwinan pada November lalu. Arwah seorang peramah dan baik hati terutama pada lima adik-adiknya yang lain,” katanya.
Member aku time sekolah ni (perempuan). Baru je kawen.
Takziah kepada keluarga arwah.
[SUMBER]
