combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,153
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,153
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Institut REHDA Sambut Baik Model Perumahan Mampu Milik Berasaskan PendapatanÂ
Institut REHDA menyambut baik cadangan untuk menetapkan harga rumah mampu milik berdasarkan kemampuan kewangan, yang mengambil kira pendapatan isi rumah setempat dan permintaan sebenar, berbanding had seragam RM300,000.
Menurut institut penyelidikan di bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) itu, penanda aras berkenaan perlu dikaji secara berkala, berasaskan pendapatan serta mekanisme agihan yang lebih khusus mengikut lokasi.
“Selain itu, harga rumah juga perlu mengambil kira kos sebenar penyediaan perumahan,” menurut kenyataan itu susulan keputusan untuk menggubal dan meminda empat undang-undang berkaitan perumahan di bawah Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035.
Sebanyak 82 peratus pemaju yang mengambil bahagian dalam kajian Housing for All mendapati harga terkawal untuk rumah yang tertakluk kepada kawalan harga adalah lebih rendah berbanding kos sebenar pembinaan, berikutan peningkatan kos tanah, pembinaan, buruh, pematuhan dan infrastruktur.
Institut REHDA turut menyokong perancangan berasaskan data dengan mengambil kira demografi, keperluan dan permintaan sebenar.
Penggunaan data menyeluruh merangkumi isi rumah, pendapatan, demografi, stok perumahan, kadar kekosongan, unit siap tidak terjual serta corak mobiliti, boleh membantu menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan, rumah tidak terjual serta projek terbengkalai.
“Ia membantu mengelakkan pembinaan berlebihan dalam pasaran yang lemah, selain memastikan keperluan perumahan sebenar dipenuhi di kawasan yang mempunyai permintaan. Data yang lebih baik juga membolehkan Malaysia beralih daripada hanya bertindak balas terhadap projek terbengkalai kepada mengenal pasti risiko dan mencegah projek terbengkalai lebih awal,” menurut kenyataan itu.
Institut REHDA turut menyambut baik tumpuan DRN terhadap penuaan populasi, termasuk penyesuaian skim pembiayaan perumahan untuk warga emas, geran pengubahsuaian serta insentif kepada pemaju swasta untuk membangunkan pusat penjagaan warga emas yang kondusif.
Pendekatan itu semakin penting berikutan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan rakyat berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi lapan peratus daripada jumlah penduduk pada 2025, meningkat daripada 7.6 peratus pada 2024.